PARIT BUNTAR - Lapan kaki pancing terselamat selepas bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak dan ribut pada kedudukan 11.2 batu nautika di perairan Kuala Kurau, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, kesemua mangsa berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun berjaya diselamatkan bot nelayan yang melalui kawasan itu selepas hampir satu jam berada dalam laut.
Mangsa, Abdul Hafiz Abdul Hamid, 40, berkata, kejadian berlaku ketika mereka baru sahaja tiba di kawasan yang digelar 'kapal Taiping' dan tekong bot ketika itu mahu melabuhkan sauh.
Menurutnya, keadaan cuaca bagaimanapun berubah dengan keadaan laut bergelora dan ombak tinggi mencecah lebih tiga meter.
"Kami cuba berlindung ke bot nelayan berhampiran, namun ketika hampir sampai, secara tiba-tiba ombak besar datang menyebabkan bot dinaiki kami terbalik.
"Lima daripada kami termasuk saya tercampak ke laut, manakala tekong dan seorang lagi rakan sempat melompat ke bot nelayan di situ," katanya ketika ditemui di Jeti Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kurau, di sini.
Penolong jurutera di sebuah universiti itu mengakui trauma dengan kejadian yang hampir meragut nyawa dan akan menghentikan sementara aktiviti memancing.
"Ketika berdepan kejadian, pelbagai perasaan muncul termasuklah memikirkan isteri yang sedang mengandung.
"Patutlah saya rasa tidak sedap hati dua tiga hari ini sampaikan saya muat naik status di laman sosial meminta maaf kepada semua rakan. Alhamdulillah, ALLAH masih panjangkan umur," katanya.
Seorang lagi mangsa, Mohd Fakrullah Ahmad, 30, berkata, mereka menaiki bot pada jam 10 pagi dari Changkat, Nibong Tebal dan bercadang untuk memancing di situ selama dua hari.
Katanya, meskipun segala peralatan memancing bernilai puluhan ribu ringgit serta pelbagai dokumen penting termasuk kad pengenalan hilang ditelan ombak, mereka tetap bersyukur kerana terselamat.
"Alhamdulillah, kami semua selamat. Terima kasih kepada nelayan, Maritim dan dan Pasukan Polis Marin yang menyelamatkan kami," katanya.
Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 2.40 petang.
"Kesemua pemancing itu dibawa ke Jeti Pengkalan Maritim, di sini dan telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan kepada waris masing-masing," katanya.
Pihaknya menasihatkan nelayan dan pemancing agar lebih berhati-hati ketika berada di laut terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
"Ini merupakan kes ke-10 dilaporkan sepanjang tahun ini, enam daripadanya disahkan maut, tiga tidak dijumpai manakala kes terbaharu ini kesemuanya berjaya diselamatkan," katanya.