LANGKAWI - Polis merampas dua penyangkut baju dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang mayatnya dijumpai di gaung Gunung Raya, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penemuan baharu itu dirampas di rumah suspek, di kuarters Hospital Langkawi setelah pemeriksaan dilakukan semula di lokasi kejadian.
Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan penyangkut baju terbabit dalam kes penderaan terhadap mangsa sehingga membawa maut.
"Polis turut merampas pakaian yang dipakai suspek pada hari kejadian. Bukti baharu ini akan dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisa, Isnin ini,” katanya.
Mohd Iqbal berkata, penemuan terbaharu itu adalah hasil pencarian bagi mencari bukti baharu di lokasi mayat dibuang di Gunung Raya dan rumah suspek untuk melengkapkan siasatan.
"Dalam operasi hari ketiga ini, pegawai penyiasat dan anggota polis mengunjungi semula lokasi pembuangan mayat dan tempat tinggal suspek.
Tumpuan diberikan di rumah suspek dan berjaya temui dua subjek berkaitan, namun tiada penemuan baharu di kawasan gaung,” katanya.
Menurutnya, pasukan penyiasat cuba mencari petunjuk baharu yang menjurus kepada kemungkinan berlaku penderaan terhadap mangsa.
Mohd Iqbal berkata, proses bedah siasat cebisan anggota mangsa akan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Ahad ini.
"Ketiga-tiga sampel, iaitu tengkorak, gumpalan rambut dan dua batang gigi dipercayai milik kanak-kanak perempuan itu yang ditemui dalam gaung di Gunung Raya, akan dibawa ke HSB sebelum bedah siasat dijalankan,” katanya.
Pada Rabu, polis menemui tengkorak dan gumpalan rambut dipercayai daripada jasad Nur Aisyah Aleya, manakala operasi hari kedua di lokasi sama menemukan dua gumpalan rambut serta dua batang gigi.
Kanak-kanak perempuan itu dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya, Rosmaliah Samo ketika mangsa di bawah jagaan suspek, iaitu pasangan suami isteri yang menginap di kuarters Hospital Langkawi.
Pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun itu direman tujuh hari sehingga 14 Mac depan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa ditemui di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya, Rabu lalu, selepas suspek lelaki menunjukkan lokasi mayat dibuang, dipercayai dilakukan pada 16 Februari lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kehilangan Nur Aisyah Aleya terjawab
Bedah siasat Ahad, masih cari bukti baharu