MELAKA - Kesukaran memasarkan sayur-sayuran ketika bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020, memaksa Abd Halim Abdullah mencari alternatif lain untuk kekal bertahan dan meneruskan kelangsungan hidupnya sebagai petani sayur.
Kerugian mencecah sehingga ribuan ringgit sehari, menyebabkan Abd Halim, 45, yang juga seorang kontraktor telekomunikasi beralih mengusahakan jambu batu atau guava varieti Lohan (GU16) dan ternyata usaha beliau menampakkan hasil lumayan setelah sembilan bulan menceburi penanaman jambu berkenaan.
Kini katanya, beliau menumpukan sepenuh masa sebagai pengusaha jambu batu Lohan sehingga mempunyai tiga kebun seluas 2.83 hektar di sekitar Kampung Tengah, Pulau Gadong di sini dengan 1,000 batang pokok sekali gus menjadi pengusaha tunggal di Melaka.
"Alhamdulillah, rata-rata pokok jambu yang saya tanam telah mencecah usia matang dan mampu mengeluarkan dua tan metrik jambu seminggu dengan pendapatan mencecah RM10,000," katanya ketika ditemui di kebunnya di Pulau Gadong di sini baru-baru ini.
Abd Halim yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran seperti cili padi centil dan terung sejak 13 tahun lepas, mengakui keputusan beralih mengusahakan tanaman jambu batu itu dilakukan ekoran pendapatannya sebagai kontraktor turut terjejas dalam tempoh PKP dan sekatan perjalanan.
"Pada mulanya banyak kesukaran yang saya hadapi termasuk dalam isu pemasaran sehingga bertan-tan jambu terpaksa dibuang kerana saya tidak tahu ke mana hendak memasarkannya sehinggalah saya berkolaborasi dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka,” katanya yang dibesarkan dalam keluarga petani.
Abd Halim berkata, sehingga kini beliau membekalkan jambu batu berkenaan kepada lebih 50 peniaga kecil dan seorang pemborong di negeri itu selain turut memasarkan hasil taninya di Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan FAMA Melaka.
Bapa kepada empat anak itu berkata, pengeluaran kira-kira lapan tan metrik buah jambu sebulan kadangkala masih tidak mampu untuk menampung pasaran luar Melaka, justeru beliau sedang mengusahakan projek rintis jambu U16 secara berkelompok bersama-sama enam rakannya di kawasan seluas 3.24 hektar di Jalan Setulang Daeng, Bukit Rambai di sini yang mempunyai 2,000 pokok.
"Projek rintis ini baru bermula awal Oktober lepas dan tanaman diusahakan secara berperingkat serta dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini sebelum satu lagi projek tanaman secara kelompok akan diusahakan di tanah seluas 6.47 hektar di Bukit Katil pada awal tahun depan,” katanya.
"Sekurang-kurangnya 10 tan metrik jambu disasarkan dapat dihasilkan dalam seminggu menjelang tahun depan," katanya yang kini mempunyai empat pekerja sepenuh masa termasuk seorang orang kurang upaya untuk membantunya di tiga kebun tersebut.
Bercerita lanjut, anak kelahiran Muar, Johor itu berkata, setakat ini jambu batu Lohan keluarannya itu banyak menerima respons positif daripada pembeli malah ada yang sudahpun menjadi pelanggan tetap disebabkan gemarkan rasa manis, rangup buah jambu berkenaan, selain mempunyai kandungan air yang tinggi.
"Buah jambu kami dijual terus dari kebun kepada pelanggan dalam pelbagai harga mengikut gred iaitu RM5 sekilogram bagi gred A, gred B (RM4 sekilogram) dan gred C (RM3 sekilogram),” katanya.
Katanya, FAMA juga bercadang melakukan penjenamaan ke atas nama Jambu Batu Lohan keluarannya, sekali gus menjadikan jambu batu sebagai ikon buah-buahan bagi Melaka dan beliau sangat berbesar hati dan menghargai inisiatif berkenaan. - Bernama