KUCHING - Sarawak pada Ahad dikejutkan dengan berita pemergian seorang tokoh yang telah mewarnai arena politik Bumi Kenyalang untuk hampir empat dekad, apabila Tan Sri Dr James Jemut Masing menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Berita pemergian Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berusia 72 tahun itu dikongsikan Setiausaha Agung PRS, Datuk Janang Bungsu kepada Bernama, setelah khabar Masing meninggal dunia kira-kira jam 7.05 pagi mulai viral.
Sebelum itu, Masing telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas didapati positif Covid-19 kategori tiga dan perkara itu disahkan sendiri oleh beliau pada 28 September lepas menerusi perkongsiannya di laman Facebooknya.
Dalam kiriman di laman itu, beliau turut berkongsi fotonya sebelum dibawa ambulans untuk rawatan di HUS selepas mengalami gejala demam, hilang selera makan dan paru-paru berair.
Masing merupakan pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang antropologi dari Australia National University di Canberra, pernah menjadi pengetua sebuah sekolah menengah di Kapit sebelum beliau melanjutkan pelajarannnya di peringkat tinggi bermula 1972.
Sekembalinya dari Australia, beliau bertugas sebagai pegawai penyelidik kanan di Perbadanan Pembekalan Elektrik Sarawak (SESCo), sebelum meletak jawatan pada 1983 untuk bertanding kali pertama dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak untuk kerusi DUN Baleh pada tahun yang sama.
Beliau telah memenangi DUN Baleh itu dengan majoriti 1,071 undi sebagai calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan kekal mempertahankan kerusi itu untuk lapan penggal seterusnya dan kali terakhir adalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 pada 2016.
Penglibatan beliau berlaku sewaktu keadaan politik agak goyah di Sarawak, dengan beberapa peristiwa penting yang turut melibatkan PBDS menjadi parti pembangkang di peringkat negeri, namun sebahagian dari kerajaan di peringkat persekutuan.
Berikutan pembatalan pendaftaran PBDS pada 2004, Masing bersama-sama beberapa orang pemimpin dari parti itu telah menubuhkan PRS, dan pada tahun berikutnya menjadi presiden parti itu, jawatan yang disandangnya sehingga beliau meninggal dunia.
Berikutan persefahaman yang dicapai yang membawa kepada kemasukan semula PBDS dalam kerajaan Barisan Nasional negeri pada 1994, Masing pada tahun berikutnya dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan Sarawak sebelum dilantik menteri penuh untuk portfolio yang sama, setahun kemudian.
Dalam tempoh 21 tahun, beliau telah menyandang empat portfolio penting dalam Kabinet Sarawak yang terdiri dari pelancongan; pembangunan sosial dan perbandaran; pembangunan tanah; dan yang terkini, infrastruktur dan pembangunan pelabuhan.
Ekoran kemenangan Barisan Nasional Sarawak dalam PRN ke-12 pada 2016, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dalam kabinet yang dibentuk Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Kehilangan Masing bukan hanya dirasai dalam kalangan mereka yang terlibat dalam arena politik Sarawak atau mereka yang berada di kawasan DUN Baleh yang tidak pernah sepi dari kunjungannya, malah beliau juga terkenal dalam kalangan pengamal media tempatan sebagai orang yang mudah dihubungi memberikan komen dan ulasan, berhubung isu-isu semasa.
Semoga Masing tenang dalam persemadiannya. - Bernama