LONDON - Selepas dibenar keluar daripada menerima rawatan di hospital, Ratu Elizabeth II dinasihatkan supaya berehat sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu.
Menurut kenyataan rasmi Istana Buckingham, baginda hanya dibenarkan untuk menjalankan tugas ringan termasuk beberapa persidangan secara maya.
Ini bermakna, Ratu Elizabeth II tidak dibenarkan melakukan kunjungan rasmi termasuk festival peringatan yang bakal berlangsung pada 13 November depan.
Bagaimanapun, tetap menjadi hasrat baginda untuk hadir ke upacara penghormatan pada 14 November yang juga menjadi salah satu acara besar kalendar tahunan diraja.
Baginda sebelum ini menerima rawatan oleh pakar hospital swasta King Edward yang terletak di tengah London, pusat perubatan sama mendiang suaminya, Putera Philip menghabiskan masa empat minggu bagi mendapatkan rawatan jantung.
Berikutan saranan untuk berehat, Ratu Elizabeth memutuskan untuk tidak ke Glasgow bagi menghadiri upacara COP26 pada 1 November.
Baginda sebelum ini menyatakan rasa kesalnya dengan pemimpin dunia yang hanya bercakap tentang perubahan iklim, tetapi tidak melakukan apa pun untuk mengatasinya. - Awani