'Serah tugas kutipan bayaran penyelenggaraan kepada pihak berwajib'

Iklan
Rodziah (kanan) menyempurnakan gimik Pelancaran Tapak Laman Hijau Strata Kedua Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, Puchong pada Ahad.

PUCHONG - Kerajaan Selangor mencadangkan agar kaedah kutipan bayaran penyelenggaraan di pangsapuri kos rendah dan sederhana ditambah baik dengan pengurusannya diserahkan kepada pihak berwajib.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, cadangan tersebut adalah wajar berikutan badan pengurusan bersama (JMB) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tertentu ke atas pemilik kediaman yang gagal melunaskan bayaran penyelenggaraan mereka.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, Rodziah berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa akta berkaitan yang boleh ditambah baik agar mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.

"Saya rasa apa yang dicadangkan ini adalah untuk memperbetulkan semula mengenai tanggungjawab kutipan penyelenggaraan ini yang seharusnya biarlah kena pada tempatnya.

Iklan

"Kita cadang agar kerajaan Persekutuan lihat semula perkara ini kerana kalau tanggungjawab kutipan bayaran penyelenggaraan ini diserahkan kepada JMB, mereka tiada kuasa untuk ambil sebarang tindakan tertentu seperti mana Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Maka sudah tentu proses untuk menyelesaikan kes-kes tunggakan bayaran dan sebagainya akan panjang kerana bidang kuasa JMB terhad," katanya selepas menyempurnakan Pelancaran Tapak Laman Hijau Strata Kedua Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara di sini pada Ahad.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Rodziah berkata, kerajaan negeri Selangor sebelum ini telah memilih enam lokasi bagi melaksanakan inisiatif tersebut bergantung kepada keluasan tanah di kawasan terlibat.

"Pangsapuri Enggang ini merupakan lokasi tapak kedua pelaksanaan program ini yang memberi fokus kepada matlamat pembangunan ekonomi dan sosial dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat di sini," jelas beliau.

Rodziah berkata, setiap tapak-tapak berkenaan akan menerima peruntukan sebanyak RM140,000 bagi melaksanakan inisiatif laman hijau tersebut.

Bagaimanapun, katanya, bagi pelaksanaan di Pangsapuri Enggang, kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan tambahan sebanyak RM10,000 manakala Jabatan Pertanian Selangor pula sebanyak RM20,000.

"Pangsapuri ini menerima peruntukan sebanyak RM170,000 secara keseluruhan kerana kita mendapati kawasan ini luas. Saya dimaklumkan ia bakal menjadi tapak tanaman organik," ujarnya.