Masing seorang pemimpin berani

Iklan
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya di sini, kira-kira jam 7.05 pagi pada usia 72 tahun.

KUCHING - Beberapa pemimpin politik Sarawak memberikan penghormatan terakhir mereka kepada Tan Sri Dr James Jemut Masing yang meninggal dunia awal pagi ini dan mengambarkan beliau sebagai seorang pemimpin masyarakat Dayak yang berani dan sering membawakan isu rakyat.

Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata, pemergian Masing merupakan suatu yang menyedihkan dan kehilangan besar kepada komuniti Dayak, kerana beliau seorang presiden kepada parti berasaskan kaum Dayak iaitu Parti Rakyat Dayak (PRS).

Iklan
Iklan

"Seorang pemimpin yang berfikiran terbuka yang akan memberikan pandangannya demi kepentingan Sarawak, terutamanya perkara yang berkaitan berkaitan masyarakat Dayak dan kebajikan mereka,” katanya kepada Bernama dan berharap PRS akan terus bersatu dan meneruskan legasi yang ditinggalkan itu bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memberitahu, Sarawak kehilangan seorang anak Sarawak yang telah mendedikasikan seluruh hidupnya untuk berkhidmat dan berjuang untuk Sarawak.

Iklan

"Saya bertuah untuk menjadi seorang rakan sekerja, sahabat dan mendapat pengetahuan daripada kebijaksanaan beliau. Seorang rakan seperjuangan sejak sekian lama,” kata Sim.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Hamzah pula berkata, selaku seorang pemimpin yang baik, Masing amat dihormati oleh semua peringkat komuniti tanpa mengira bangsa dan agama.

Iklan

"Selama tempoh perkhidmatan dalam kerajaan negeri Sarawak sebagai wakil rakyat dan ahli kabinet negeri, mendiang telah banyak membawa perubahan kepada rakyat di luar bandar, khasnya di Kapit,” katanya.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, Masing adalah seorang jenis pemimpin yang amat jarang ditemui, pemimpin yang akan mempertahankan apa yang beliau percaya.

"Ada masa-masanya agak kritikal, tetapi beliau maksudkan apa yang beliau katakan. Bagi saya, saya kehilangan seorang rakan yang hebat, yang saya sentiasa minta pertolongan sama ada dalam politik, luar politik dan juga berkaitan kerja kami sebagai pemimpin masyarakat,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus memberitahu, Masing telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan di Sarawak dan seorang yang lantang dalam membawakan isu rakyat, manakala ADUN Serumbu Miro Simuh pula berpendapat yang Sarawak kehilangan seorang pemimpin Dayak yang tegas dan berkarisma, yang legasinya akan berterusan demi kebaikan komuniti. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Timbalan Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN:Saya kehilangan sahabat baik, kata Annuar