Pekan Sehari Temerloh kembali meriah

Iklan
Suasana di Pekan Sehari Temerloh pada Ahad yang kembali meriah selepas dibuka kembali pada 17 Oktober lalu.

TEMERLOH - Selepas lebih empat bulan tidak beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Jun lalu, Pekan Sehari Temerloh kembali menjadi tumpuan ramai sejak dibuka semula pada 17 Oktober lalu.

Kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu dilihat antara faktor penyumbang kehadiran pengunjung di lokasi pekan sehari terbesar di Semenanjung Malaysia yang dibuka pada setiap Ahad.

Iklan
Iklan

Pengunjung, Suhaida Awang Teh, 37, dari Muar, Johor mengambil peluang pulang ke kampung di sini untuk mengunjungi lokasi popular tersebut.

"Gembira selepas 11 bulan tidak balik kampung di sini. Saya dan ahli keluarga lain tidak melepaskan peluang ke Pekan Sehari Temerloh.

Iklan

"Sudah pasti bila ke Pekan Sehari Temerloh, saya tidak melepaskan peluang membeli barangan yang sukar diperoleh di tempat lain seperti ikan patin Sungai Pahang," kata eksekutif logistik itu ketika ditemui Sinar Harian di pekan sehari berkenaan pada Ahad.

Suhaida bagaimanapun berkata, dia tetap berhati-hati dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Iklan

Seorang lagi pengunjung, Junaidah Dollah, 64, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi pekan sehari berkenaan yang sudah tiga minggu kembali beroperasi.

Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar kenangan di hadapan Pekan Sehari Temerloh pada Ahad.

"Kawan saya yang juga peniaga di sini beritahu, jumlah pengunjung juga lebih ramai pada hari ini berbanding minggu sebelum.

"Boleh dikatakan kami melepaskan gian kerana sudah lama tidak ke sini. Namun SOP tidak boleh diambil mudah, kita tetap kena berhati-hati dalam musim pandemik Covid-19," katanya.

Bagi peniaga sayur dan ulam, Aziz Hassan, 65, mengakui kehadiran pengunjung lebih ramai pada hari ini berbanding dua minggu sebelumnya.

"Nampak lebih ramai dan saya bersyukur dapat berniaga semula selepas beberapa bulan pendapatan terjejas sejak Pekan Sehari Temerloh ditutup sementara waktu," katanya yang telah berniaga di tapak itu sejak 15 tahun lalu.

Peniaga ikan pekasam, Harun Buman, 84, juga melahirkan rasa syukur dapat kembali berniaga di pekan sehari berkenaan.

"Orang juga semakin ramai dan ia memberikan peluang kepada peniaga seperti kami meraih rezeki di sini," katanya.

Peniaga ikan, Sarina Othman, 56, pula berpendapat, orang ramai kini sudah yakin mengunjungi lokasi seperti pekan sehari berkenaan.

"Bagi peniaga, ia memang memberikan kelegaan selepas pendapatan kami terjejas sebelum ini," katanya.

Terdapat lebih 400 peniaga di Pekan Sehari Temerloh yang dibuka setiap Ahad bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Selain pemakaian pelitup muka, hanya pengunjung yang lengkap dos vaksinasi dibenarkan memasuki lokasi tersebut, selain perlu mengimbas aplikasi MySejahtera dan suhu badan di pintu masuk.