Enam beradik yatim piatu selepas kehilangan bapa akibat Covid-19

Iklan
Cempaka Imam (tiga dari kanan) bersama suami dan adik-adik melihat gambar kenangan ibu dan bapanya yang sudah meninggal dunia.

KUALA TERENGGANU - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah gambaran yang menceritakan kehidupan dilalui enam beradik yatim piatu selepas bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 pada bulan lalu.

Bapa mereka, Zulkepeli Ramli, 61, yang mempunyai beberapa masalah kesihatan disahkan meninggal dunia di rumahnya di Kampung Durian Burung pada 27 September lalu manakala ibu mereka, Tuan Norziana Tuan Sagar kembali kerahmatullah empat tahun lalu kerana kanser hati.

Iklan
Iklan

Pada usia yang masih muda, anak sulung pasangan itu, Cempaka Imam, 20, kini memikul tanggungjawab menjaga lima adiknya iaitu Kasih Nurani, 17, Sayang Murni, 15, Suci Sufiah, 13, Wali Al-Hadad, 10 dan Waiz Al-Syahid, 8.

Walaupun berdepan kesukaran khususnya dari segi kewangan, Cempaka Imam berkata, dia bersama suami, Muhammad Khairul Syafiq Anwar, 26, akan berusaha memastikan kebajikan dan pendidikan adik-adiknya terbela dan tidak terabai.

Iklan

"Sebelum ini, ayah selalu pesan supaya jaga adik-adik dengan baik tapi tidak sangka ayah pergi dengan cepat. Jadi, saya akan pegang pesanan ayah dengan menjaga dan tidak sesekali pisahkan adik-adik, biar mereka membesar depan mata saya.

"Harapan saya satu, supaya adik-adik berjaya kerana itu juga impian arwah ayah dan mak. Cuma saya kasihan dengan dua adik yang masih kecil, mereka masih perlukan kasih sayang ayah dan ibu. Walaupun saya jaga, kasih sayang saya dan suami tidak sama," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Ahad.

Iklan

Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) Khairul Azlam (kiri) menyampaikan sumbangan kepada enam beradik yang menjadi yatim piatu selepas kematian bapanya pada bulan lalu kerana Covid-19.

Selepas kehilangan ketua keluarga, enam beradik itu dengan empat daripada mereka masih bersekolah kini bergantung sepenuhnya kepada Muhammad Khairul Syafiq yang bekerja sebagai penghantar minyak masak dengan bayaran upah sebanyak RM30 sehari.

Sayang Murni dan Suci Sufiah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad manakala Wali Al-Hadad dan Waiz Al-Syahid belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Burung.

"Pendapatan suami memang tidak seberapa tapi saya bersyukur kerana saudara-mara, jiran-jiran, orang ramai dan ketua kampung di sini prihatin dengan keadaan kami dan bantu memberi sumbangan wang serta makanan seperti beras serta bahan kering lain," katanya.

Mengimbas detik kematian Zulkepeli, Cempaka Imam memberitahu, dia dimaklumkan oleh adiknya bahawa ayah meninggal dunia di rumah pada jam 2 petang selepas beberapa hari tidak sihat dan ujian saringan mengesahkan arwah positif Covid-19.

Dia yang ketika itu sedang menjalani kuarantin di rumah mertua di Marang berkata, lebih menyedihkan adalah semua adik-beradiknya tidak dapat menguruskan jenazah Zulkepeli kerana perlu kuarantin diri.

"Selepas kematian ayah, yang paling terkesan adalah Wali kerana dia paling rapat dengan arwah ayah. Bila rindu dia akan peluk baju ayah dan cakap Wali rindu ayah, ayah baliklah Wali rindu ayah," katanya sebak.

Sementara itu, pembantu khas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Azmi Ali berkata, pihaknya akan memantau enam beradik berkenaan dan menyalurkan bantuan sewajarnya khususnya dari aspek pendidikan bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.

"Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Setia, Abd Khalid Othman telah mengambil tindakan dengan memohon bantuan daripada agensi berkenaan. Kita juga akan menilai sumbangan lain termasuk bantuan modal memulakan perniagaan dan peluang kerja bersesuaian," katanya.