ALOR SETAR - Kedah hanya menuntut hak negeri itu dengan mengemukakan tuntutan bayaran royalti pajakan Pulau Pinang bukan mahukan wang percuma daripada kerajaan Persekutuan seperti didakwa sesetengah pihak.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dakwaan itu tidak berasas dan terpesong dengan propaganda tertentu untuk menafikan hak Kedah.
Menurutnya, apa dilakukan pihaknya adalah bagi mendapatkan hak sewajarnya berdasarkan sejarah yang diperakui sejak berzaman.
"Ada kata Kedah nak duit 'free' (percuma). Hak kita wajiblah dituntut, tak kan orang yang menuntut hak dia, dituduh sebagai tak bekerja dan nak duit percuma.
"Tuntut hak itu juga satu kewajipan dan merupakan satu pekerjaan,” katanya dalam sidang media selepas perasmian penutup MyDigitalMaker Virtual Fair Negeri Kedah (MaiReka) di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Muhammad Sanusi berkata, Pulau Pinang tidak wajar mencampuri urusan Kedah menuntut hak daripada kerajaan Pusat kerana itu adalah urusan negeri berkenaan.
"Saya harap maklumat yang terpesong dapat diperbetulkan. Ini bukan urusan mereka tetapi ini hak Kedah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan proses penubuhan jawatankuasa berkaitan isu pajakan terbabit adalah bagi memastikan pengumpulan bahan sejarah dapat dilakukan untuk mendapatkan satu pandangan yang tepat, bukannya bagi menentukan sama ada Pulau Pinang dipajak daripada Kedah atau tidak.
"Ada orang kata, jawatankuasa itu ditubuhkan selepas tuntutan, itu tidak benar. Perkara itu sudah 'establish' beratus tahun, semua tahu fakta bahawa Pulau Pinang dipajak dari Kedah, bukan saya tubuh jawatankuasa untuk nak tahu sama ada pajak atau tidak, pajak memang sudah pajak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beberapa pihak mempertikaikan kewujudan dokumen berkaitan pajakan, nilai sebenar serta pemilikan dari segi sejarah Kedah.
"Oleh itu, semua benda itu berkait dengan kajian sejarah. Jadi, kami kumpul semua bahan bawah satu jawatankuasa dan akan rumuskan satu pandangan berdasarkan fakta dan kajian dilakukan.
Ia bukan tentang isu perundangan Pulau Pinang, tuntutan sudah muktamad dan sudah dikemukakan,” katanya.
Pada Sabtu, Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah menubuhkan sebuah pasukan terdiri daripada sejarawan, pakar akademik dan wakil persatuan sejarah bawah jawatankuasa terbabit untuk membantu Kedah dalam perkara itu.
Pihaknya berharap perkara itu dapat dikaji semula dan Kedah diberikan bayaran lebih setimpal berbanding RM10 juta dan RM10,000 yang diterima ketika ini.
Rabu lepas, kerajaan negeri Kedah menuntut bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi pajakan tanah di Pulau Pinang dan berharap ia diumumkan dalam Bajet 2022.
Bagaimanapun, pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak menyenaraikan permohonan peruntukan bagi tujuan itu.