KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 640 kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo dan Van Go Auto Higer ACE bernilai RM108 juta untuk kegunaan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di seluruh negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, penambahan aset logistik itu untuk kegunaan penugasan; antaranya sekatan jalan raya, Light Strike Force (LSF), membawa mayat serta mengangkut barangan dan aset.
Beliau berkata, sejumlah 400 unit Toyota Hilux GS Cargo dan 260 unit Van Go Auto Higer ACE itu mula diedarkan secara berperingkat ke seluruh negara termasuk IPK Kelantan yang menerima sebanyak 23 unit Toyota Hilux GS Cargo serta 11 unit Van Go Auto Higer ACE.
"Ia sangat perlu bagi menggantikan pengangkutan sedia ada yang lama dan rosak selain amat bersesuaian dengan keperluan semasa untuk meningkatkan penugasan polis lebih efisien.
"Toyota Hilux GS Cargo yang lasak dan stabil itu juga sangat sesuai untuk kegunaan pasukan bagi persediaan menghadapi banjir yang dijangka melanda Kelantan pada bila-bila masa dari sekarang,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan di sini pada Ahad.
Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja Rasmi dan penyerahan 34 kenderaan Toyota Hilux GS Cargo serta Van Go Auto Higer ACE kepada IPK Kelantan.
Hadir menerima serahan tersebut ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Dalam majlis sama, Mazlan turut menyempurnakan acara flag-off pelepasan kenderaan tersebut.
Sementara itu, Mazlan berkata, kenderaan baharu yang dibekalkan itu akan meningkatkan imej PDRM selain dapat membantu melancarkan penugasan kepolisian.
"Penambahanan logistik ini diharapkan akan menjadikan penugasan polis lebih efisien dan menyeluruh.
"Anggota juga diingatkan agar segala aset kerajaan digunakan perlu mengikut peraturan dan arahan serta tidak menyalah gunakan aset, sebaliknya perlu menjaga kebersihan dan penyelenggaraan kenderaan agar sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.
Dalam lawatan kerja itu, Mazlan turut menghadiri mesyuarat persediaan dan persiapan banjir bagi IPK Kelantan.