PH hargai jasa ADUN jatuhkan kerajaan Melaka: Shahril

Iklan
Shahril Sufian Hamdan

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dilihat menghargai jasa bekas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat dalam menjatuhkan kerajaan negeri Melaka.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ini kerana Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa PH terbuka menjalinkan kerjasama dengan pemimpin itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Iklan
Iklan

"Hari ini kita telah dapat jawapan, PH terbuka menjalin kerjasama dalam PRN Melaka. Kita tunggu apakah ini bermaksud kelak rakyat akan diminta pilih tiga individu ini atas tiket PH.

"Jika tidak sekalipun, nampaknya PH menghargai jasa dan menganggap mereka sebagai aset.

Iklan

"Ya, UMNO tidak maksum. Tapi PH juga tak perlu acah suci. Semoga rakyat Melaka dapat mempertimbang dengan sepenuhnya apa yang telah berlaku, siapa dalangnya, dan siapa menangguk di air keruh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Beliau berkata, mereka yang menjatuhkan kerajaan negeri di Melaka bukanlah datang dari Ketua Menteri, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka atau akar umbi, sebaliknya disebabkan tiga ADUN tersebut serta tukang catur dan sorak mereka.

Iklan

Sehubungan itu, Shahril menegaskan bahawa UMNO tidak wajar dipersalahkan kerana tindakan dua bekas ahli parti dan seorang lagi ADUN yang telah membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PRN Melaka.

"UMNO tegas dan tangkas untuk memecat keahlian mereka. Apapun kelemahan UMNO, tiada siapa boleh pertikaikan parti mengambil tindakan yang jelas dalam hal ini dalam masa 24 jam.

"Tetapi di pihak ‘sana’ mereka berjumpa dan bermesra dengan orang-orang sama yang digunakan untuk memukul dan mentertawakan UMNO.

"Dalam ucapan di sebuah majlis PKR, orang-orang sama itu dirujuk sebagai ‘panglima’. Ada yang kata, apa salahnya Presiden PKR berjumpa dengan ADUN Melaka? Ok, tak salah pun berjumpa.

"Tapi apa ertinya apabila meraikan mereka dan merujuk mereka sebagai panglima,” ujar beliau.