KUALA LUMPUR - Mara In Fashion (MIF) meneruskan kesinambungan dalam merancakkan kembali industri fesyen tanah air yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan mengadakan Mara In Fashion Ready To Wear (MIF RTW) 2021/2022.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pertunjukan tersebut merupakan pentas peragaan fesyen pertama yang diadakan secara hidbrid iaitu secara fizikal dan dalam talian di negara ini.
Ujar beliau, ia bersesuaian dengan keadaan norma baru negara yang sedang memasuki fasa endemik Covid-19.
"Program MIF RTF 2021/2022 merupakan kesinambungan inisiatif Mara di bawah program MIF dalam memperkasa dan memperkukuhkan lagi usahawan-usahawan fesyen setelah terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Kita semua tahu ramai yang terkesan akibat Covid-19 ini," katanya dalam ucapan perasmian MIF RTW 2021/2022 di Grand Hyatt Kuala Lumpur, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Azizah berkata, berkonsepkan 'Ready To Wear' dengan tema 'Identiti' itu sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada usahawan dan pereka muda.
Menurutnya, ia bertujuan menunjukkan 'signature style' rekaan pakaian masing-masing dalam usaha untuk menempatkan jenama mereka supaya dikenali dan bersaing dengan jenama lain di pasaran fesyen dalam dan luar negara.
"Apa yang menariknya MIF ini adalah pakej lengkap yang disediakan kepada peserta terpilih merangkumi 4 fasa latihan keusahawanan yang merangkumi semua aspek dalam perniagaan fesyen dan bimbingan secara terus oleh pakar-pakar industri fesyen seperti Faizal Hamid, Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Reka Bentuk dari Fakulti Seni Lukis UiTM, Fiziwoo dan lain-lain lagi.
"Bukan itu sahaja, pereka fesyen MIF juga akan ditawarkan dengan kemudahan keusahawanan lain seperti kemudahan pembiayaan dan premis perniagaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Azizah berkata, pertunjukan tersebut dimeriahkan dengan penglibatan 20 pereka muda yang bakatnya digilap oleh Mara bagi menyemarakkan industri fesyen tanah air.
"Mereka telah melalui beberapa siri latihan selama enam bulan sejak September 2020 sehingga Februari tahun ini bagi menghasilkan rekaan terbaik yang akan diperagakan pada hari ini.
"Saya harap para pereka di sini menjadikan pentas sebagai satu permulaan untuk memperkenalkan jenama dan produk mereka.
"Apabila jenama dikenali kelak, maka mudah untuk anda membina rangkaian, sekali gus memasarkan ke peringkat antarabangsa," katanya.