SHAH ALAM – AMMB Holdings Berhad menyifatkan Bajet 2022 yang diumumkan kerajaan telah dirangka untuk menyokong rakyat dan perniagaan dengan tumpuan kepada pembangunan pertumbuhan baharu, meningkatkan daya tahan serta memastikan pertumbuhan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, ia dibuat di sebalik persekitaran ekonomi yang masih mencabar dan tidak menentu.
"Skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah membantu beribu-ribu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
"AmBank berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada sokongan berterusan kerajaan kepada PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia melalui jaminan tambahan RM10 bilion yang pastinya akan memangkin pertumbuhan domestik.
"Kami yakin PKS akan dapat memanfaatkan bantuan ini dan menyumbang kepada ekonomi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2022 menyatakan, kerajaan akan menambah baik SJPP dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang berjadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan sebanyak RM10 bilion termasuk RM2 bilion yang dikhaskan untuk bumiputera.
Kerajaan turut dilaporkan memperuntukkan RM45 juta bagi menggalakkan transformasi teknologi ke arah Industry4WRD dalam kalangan PKS.
Sulaiman menambah, sebagai sebuah bank yang memfokuskan kepada PKS, pihaknya sedar akan keperluan penting bagi mereka untuk mempercepatkan penggunaan pendigitalan.
"Untuk tujuan ini, peruntukan kerajaan sebanyak RM45 juta untuk transformasi ke arah Industry4WRD adalah tepat pada masanya dan perlu,” katanya.
Selain itu, beliau berpendapat penekanan Bajet 2022 agar semua syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia melantik sekurang-kurangnya seorang wanita ke dalam lembaga pengarah sesuatu yang progresif dan wajar dipuji.