KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pemandu kereta jenis Toyota Corolla Altis membuat provokasi atau 'brake check' terhadap sebuah kenderaan lain membawa padah apabila ditahan pada petang Ahad.
Satu klip video berdurasi 49 saat dikesan dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter bernama nan manjoi8517 yang memaparkan tindakan pemandu tersebut membuat provokasi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, bertindak atas aduan suspek berjaya dikesan dan ditahan sekitar jam 5.50 petang Ahad.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 30 Oktober (Sabtu) sekitar jam 11.30 pagi di Jalan Jinjang Setia melibatkan kereta Toyota Corolla Altis berwarna hitam dan sebuah kereta dipercayai Myvi warna hitam.
"Kejadian berlaku apabila kereta Myvi telah bergerak secara perlahan di hadapan pemandu Corolla di lorong paling kanan. Pemandu Corolla cuba untuk memotong lalu masuk ke lorong tengah, tetapi pemandu Myvi turut masuk ke lorong sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sarifudin berkata, tindakan pemandu Myvi berkenaan membuatkan suspek berang lantas berlaku kejadian berkenaan.
"Tindakan pemandu Myvi membuatkan pemandu Corolla marah lalu memotong kemudian masuk semula ke lorong Myvi dan membrek kecemasan di hadapan kenderaan tersebut sebanyak beberapa kali dengan sengaja.
"Kejadian berlaku selama lebih kurang satu minit," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pemandu Myvi berwarna hitam terbabit atau pemilik akaun Twitter nan manjoi8715 supaya tampil ke Balai Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
"Siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya.