ROM - Sidang Kemuncak G20 yang melabuhkan tirainya pada Ahad meluluskan deklarasi mengesahkan peranan penting multilateralisme dan kerjasama antarabangsa dalam mengatasi cabaran global yang dicetuskan pandemik Covid-19.
"Deklarasi Pemimpin G20 Rom" berikrar untuk mengukuhkan tindak balas bersama terhadap pandemik itu dan merintis laluan bagi pemulihan global, dengan kebimbangan khusus terhadap golongan paling rentan, lapor Xinhua.
Pemimpin ekonomi utama dunia itu turut berikrar untuk menggunakan segala kemampuan dan alat yang ada untuk menangani kesan pandemik, mengekalkan pemulihan dan terus berwaspada terhadap cabaran global seperti gangguan rantaian bekalan.
Deklarasi itu turut menggariskan peranan penting vaksin dalam memerangi pandemik, dan pemimpin sepakat untuk memperluas usaha bagi memastikan akses kepada vaksin, terapeutik dan diagnostik yang tepat pada masanya, saksama dan universal selain selamat, berpatutan, berkualiti serta berkesan, dengan mengambil kira keperluan negara berpendapatan sederhana dan rendah.
"Kami akan mengambil langkah untuk membantu meningkatkan bekalan vaksin dan produk perubatan penting serta input di negara membangun dan menghapuskan kekangan bekalan serta pembiayaan yang berkaitan," menurut deklarasi itu.
Mengenai perubahan iklim, para pemimpin kekal komited kepada matlamat Perjanjian Paris untuk mengekalkan peningkatan suhu purata global jauh di bawah dua darjah Celsius dan meneruskan usaha untuk mengehadkannya kepada 1.5 darjah Celsius melebihi paras pra-industri.
"Sidang kemuncak ini berjaya. Bentuk kerjasama terbaik ialah kerjasama multilateralisme," kata Perdana Menteri Itali Mario Draghi pada sidang akhbar sempena penutup sidang kemuncak itu.
Negara anggota G20 menyumbang hampir dua pertiga daripada populasi dunia, lebih 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan 75 peratus daripada perdagangan global.
Sidang kemuncak dua hari itu diadakan secara dalam dan luar talian, dipengerusikan Itali. Indonesia akan menggisi kerusi penggiliran Presiden G20 mulai Disember 2021. - Bernama