RANTAU PANJANG - Cubaan penyeludup meninggalkan lori yang mengandungi pelbagai barangan seludup di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Rahmat di sini bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila tindakan terbabit berjaya dihidu pada Ahad lepas.
Kejadian itu terbongkar apabila sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menjumpai kenderaan tersebut semasa melakukan rondaan rutin mencegah aktiviti penyeludupan.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan, pihaknya melakukan rondaan kira-kira jam 6.30 pagi dan telah melihat sebuah lori yang diparkir dalam keadaan mencurigakan di ladang kelapa sawit tersebut.
"Pemeriksaan yang dilakukan mendapati tiada pemandu di dalamnya selain menemui pelbagai barangan yang disyaki telah diseludup masuk dari negara jiran.
"Ia melibatkan barangan runcit bernilai RM52,950, kosmetik RM191,000 dan barangan tembakau RM197,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, anggota PGA berkenaan seterusnya menunggu selama 30 minit di lokasi terbabit, namun tiada mana-mana individu hadir mengambil barangan tersebut.
Jelasnya, kesemua barangan rampasan serta lori itu kemudian dihantar ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti di sini untuk pemeriksaan lanjut.
"Jumlah keseluruhan nilai rampasan ialah RM541,390 dan laporan polis berkenaan rampasan tersebut dibuat di Balai Polis Lubok Stol, di sini.
"Barangan rampasan ini juga akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.