LIPIS: BN telah merangka pelbagai strategi untuk memajukan Felda antaranya membuat pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika parti itu masih berkuasa.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulas tindakan kerajaan yang akan mempertimbang syor supaya Felda ambil semula lebih 350,000 hektar tanah yang dipajaknya kepada FGV Holdings Berhad (FGV) bagi mengatasi masalah aliran tunai dan beban hutang ditanggung agensi terbabit.
Najib menyifatkan kerajaan perlu mengambil kira kepentingan FGV Holdings sebelum membuat keputusan mengambil alih aset dan tanah milik syarikat terbabit.
Ujarnya, sebagai sebuah syarikat komersial, FGV bukan sahaja perlu membuktikan kemampuannya dalam menstabilkan nilai saham di pasaran, selain kepentingan pemilik saham yang terdiri daripada peneroka Felda di seluruh negara.
"Jumlah hutang ditanggung Felda ketika ini adalah berkaitan dengan perancangan sebelum ini oleh kerajaan BN untuk program tanam semula dan kita sudah mempunyai persetujuan dengan pihak FGV untuk melaksanakan program terbabit.
"Sepatutnya kita (BN) membuat pinjaman daripada KWSP berjumlah RM4 bilion bagi melaksanakan tanggungjawab membangunkan Felda termasuk program (tanam semula) ini, dan sudah pasti jika ia dilakukan, akan dapat menstabilkan harga kelapa sawit dan seterusnya membantu peneroka yang kini hidup dalam kesempitan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Sekampung yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor di Sungai Koyan, hari ini.
Sebelum itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam memberitahu, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan untuk mengambil alih 350,000 hektar tanah milik Felda yang kini dipajak kepada FGV.
Mohamed Azmin berkata, kerajaan bagaimanapun perlu melihat dan meneliti semua perjanjian pajakan aset berkenaan serta aspek berkaitan seperti kos diperlukan bagi tujuan pengambilalihan tersebut.
Manakala pada Rabu lalu, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Yusof Noor berkata, kerajaan perlu menyuntik RM7 bilion untuk memulihkan agensi itu yang kini menghadapi masalah aliran tunai dan bebanan hutang tinggi.
Menurutnya, modal itu dapat memulihkan Felda agar kembali kukuh seperti zaman kegemilangannya yang mempunyai aliran tunai antara RM2.5 bilion hingga RM5 bilion setahun.
Beliau pernah menerajui Felda dari 2001 hingga 2010 berkata, kerajaan perlu menyuntik modal itu jika mahu menyelamatkan agensi terbabit seterusnya membela nasib peneroka yang kini tertekan dengan pelbagai masalah.