KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang penganggur menggunakan wang palsu RM100 ketika membeli barangan di sebuah pasar raya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Abdul Razak Ahmad Shafie, 30, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Iklan
Iklan
Nooriah turut memerintahkan hukuman penjara berkenaan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Oktober 2021.
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Razak didakwa menggunakan wang palsu RM100 sebagai tulen ketika membeli barangan di sebuah pasar raya di Dungun pada 1 Februari 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.