Perdagangan, pelaburan China-Malaysia bakal capai tahap baharu

Iklan
Ouyang Yujing - Foto Bernama

SEPANG - China optimis bahawa perdagangan dan pelaburannya dengan Malaysia akan mencapai peringkat baharu dalam era pasca pandemik, menurut Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Berikutan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), China sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan, memanfaatkan potensi kerjasama dalam bidang baharu, dan mengalakkan integrasi China-Malaysia ke arah kemajuan bersama membabitkan kedua-dua negara, katanya.

Iklan
Iklan

Katanya, potensi bidang kerjasama itu meliputi ekonomi digital, industri elektrik dan elektronik, keselamatan siber dan teknologi tinggi.

"Sebagai nod penting Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, Malaysia menikmati lokasi yang strategik dan persekitaran perniagaan yang sihat.

Iklan

"Kami bersedia untuk berkongsi pengalaman untuk bermula dan mencatatkan kemajuan bersama-sama Malaysia, kekal memperkukuh kerjasama praktikal dan sinergi strategik dan rancangan kerjasama untuk pemulihan ekonomi dan pembangunan sosial dalam era pasca pandemik.

"Kita sepatutnya mengubah krisis ini kepada satu peluang yang akan mewujudkan kerjasama di peringkat yang lebih tinggi dan menghasilkan keputusan yang bernilai dan luar biasa,” katanya semasa pelancaran Hab Platform Perdagangan Dunia elektronik (eWTP) Cainiao Aeropolis di sini pada Isnin.

Iklan

Yujing berkata, jumlah perdagangan dua hala antara China dan Malaysia, dan pelaburan bukan kewangan China ke Malaysia meningkat berbanding kemungkinan sebanyak 43.9 peratus dan 76.3 peratus pada separuh pertama tahun ini.

"China juga kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk tempoh 12 tahun berturut-turut, selain sumber pelaburan langsung asing terbesar dalam sektor pembuatan di Malaysia selama lima tahun berturut-turut," katanya.

"Kedua-dua negara ini sentiasa tertumpu untuk memperkukuh kerjasama merangkumi pelbagai bidang termasuk taman perindustrian, pembinaan infrastruktur, pembuatan peralatan, ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) dan ekonomi digital.

"Penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau menyuntik dorongan baharu terhadap pembangunan ekonomi wilayah Asia Pasifik, yang akan menyokong bidang baharu, model baharu dan format perniagaan baharu dalam kerjasama pragmatik kita.

"Ia juga akan memainkan peranan utama untuk menggalakkan pemulihan ekonomi dan kesejahteraan jangka panjang,” katanya.

Yujing berkata, China dan Malaysia akan memperkukuhkan lagi kerjasama di bawah rangka kerja Inisiatif Jalur dan Laluan, memperkukuh sinergi di antara strategi pembangunan, merangsang pemacu pertumbuhan baharu dan mewujudkan tumpuan baharu kerjasama.

Menurutnya kedua-dua negara akan turut memanfaatkan kelebihan itu untuk menambah baik kerjasama ekonomi dua hala.

China dan Malaysia menjalinkan kerjasama dua hala sejak 47 tahun lepas, antaranya dengan memperkukuh kepercayaan politik bersama dan kemajuan yang stabil bagi kerjasama ekonomi. - Bernama