KUALA PILAH - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bakal menerbitkan sebuah buku himpunan resipi Dari Dapur PeladangNita yang akan dilancarkan semasa program Simposium PeladangNita sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021 pada 23 Disember depan.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim berkata, buku resipi itu dijangka menghimpunkan lebih 100 resipi daripada ahli PeladangNita seluruh negara.
"Resipi tradisi dari kampung yang menjadi kegemaran ramai yang mungkin tidak diketahui dan dikumpulkan pada setiap program khas iaitu Dari Dapur PeladangNita bersama golongan wanita ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) setiap negeri.
"Kami akan melancarkan buku resipi berkenaan pada HPPNK 2021 yang akan diadakan di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas selesai Program Dari Dapur PeladangNita 'Masak Apo Tu?' di Seri Menanti Resort di sini, pada Isnin.
Jelasnya, selaras dengan usaha berkenaan, Negeri Sembilan dipilih sebagai lokasi pertama program Dari Dapur PeladangNita sebelum diteruskan ke negeri-negeri lain.
"Tujuan program ini adalah untuk mempromosi dan menghimpunkan resipi-resipi warisan asli berdasarkan daerah dan luak di Negeri Sembilan.
"Secara tidak langsung, ia juga dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli PeladangNita di negeri ini," katanya.
Sinar Harian difahamkan, bagi memeriahkan program itu, juara MasterChef musim pertama, Dr Ezani Farhana Md Monoto telah dijemput sebagai cef jemputan.
Dalam pada itu, Azulita turut menjelaskan semua ahli LPP seluruh negara berpeluang menikmati kemudahan Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG-i) yang mempunyai gabungan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank.
Katanya, PELADANG-i juga dijadikan sebagai kad identiti keahlian berkonsepkan transaksi perbankan moden yang turut dilengkapi manfaat perlindungan Takaful sehingga RM5,000 hanya dengan bayaran RM5 setahun.
"Inisiatif PELADANG-i bakal meletakkan ahli-ahli peladang kepada sistem kehidupan yang lebih baik melalui konsep pembayaran tanpa tunai dan hanya berurusan secara dalam talian.
"Selain itu, inisiatif ini selari dengan usaha untuk memperkasakan dan melonjakkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan ahli peladang ke arah dunia digitalisasi seterusnya mencapai matlamat LPP menerajui pertanian dalam negara ke arah Revolusi Industr (IR) 4.0," katanya.