KUALA LUMPUR - Cadangan Bajet 2022 yang menawarkan pelbagai insentif untuk automasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan kemahiran akan mewujudkan ekosistem yang bertenaga bagi syarikat multinasional (MNC) termasuk firma yang berkembang pesat untuk berkembang maju dengan mewujudkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang berdaya saing di peringkat global.
Ekosistem tempatan yang berkembang pesat adalah penting bagi MNC dalam menjadikan Malaysia atau Greater Kuala Lumpur (GKL) sebagai pangkalan serantau, oleh itu, InvestKL akan menyokong GKL Live Lab, satu inisiatif yang bertujuan untuk menarik syarikat global bekerjasama dengan pemain tempatan bagi meningkatkan kelebihan daya saing GKL untuk mewujudkan aktiviti yang berkualiti, diterajui inovasi dan berintensif pengetahuan.
Iklan
Iklan
Inisiatif yang dibentangkan dalam Bajet 2022 amat bersesuaian dengan peranan InvestKL dalam memastikan MNC di GKL terus tumbuh dan mengembangkan aktiviti mereka di samping menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
Menurut InvestKL, Belanjawan 2022 memberikan tumpuan yang signifikan ke atas pembinaan semula PKS dalam fasa pemulihan pasca-pandemik tahun depan dan mendorong mereka ke arah membangunkan kapasiti untuk memenuhi keperluan masa depan industri, yang disokong oleh peruntukan bagi melatih semula tenaga kerja.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Azmi Zulkifli berkata, pelan perbelanjaan itu bertujuan untuk melonjakkan ekonomi dan memulakan pelaburan dengan menyediakan insentif kepada sektor ekonomi baharu, sambil melatih semula tenaga buruh bagi menyokong keperluan industri untuk meningkatkan rantaian nilai.
"Paling penting, penekanan belanjawan terhadap pendigitalan, Industry4WRD termasuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kekal berpegang kepada prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang mencapai pertumbuhan mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
InvestKL berada di landasan yang baik bagi mendapatkan pelaburan asing baharu bernilai RM20 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, tambahnya. - Bernama