Thailand buka semula sempadan, alu-alukan pelancong lengkap divaksin

Iklan
Thailand pada Isnin membuka sempadannya buat kali pertama dalam tempoh 19 bulan.

BANGKOK - Thailand pada Isnin menyambut ribuan pelancong asing dari 63 negara dan wilayah berisiko rendah selepas negara itu membuka sempadannya buat kali pertama dalam tempoh 19 bulan dalam usaha untuk merangsang kembali ekonominya yang dilanda pandemik.

Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok kembali sibuk apabila pelancong antarabangsa yang tiba dengan menjalani saringan ketat sebelum mendapat kebenaran masuk, dibantu oleh kakitangan lapangan terbang.

Iklan
Iklan

Pelawat yang lengkap vaksinasi dari negara dan wilayah itu termasuk Malaysia akan dikecualikan daripada kuarantin.

Awat Hassan yang terbang dari London adalah antara ribuan pelancong yang lengkap divaksinasi yang tiba di negara itu hari ini.

Iklan

"Saya sangat gembira dapat kembali ke Bangkok selepas 19 bulan. Saya memutuskan datang ke Bangkok kerana kerajaan negara ini menawarkan pengecualian kuarantin untuk pelancong yang sudah lengkap divaksin.

"Ramai rakan saya memberitahu mereka juga tidak sabar untuk ke Thailand. Pengaturan bebas kuarantin adalah langkah baik untuk memulihkan industri pelancongan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di sini pada Isnin.

Iklan

Selain Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Lapangan Terbang Phuket juga membuka semula pintunya kepada pelancong hari ini.

Di bawah peraturan perjalanan bebas kuarantin, pelancong lengkap divaksin yang tiba melalui perjalanan udara mesti menjalani ujian calitan Covid-19 di lapangan terbang dan menghabiskan malam pertama mereka di hotel yang telah ditentukan terlebih dahulu.

Jika keputusan ujian itu negatif, mereka akan dibenarkan melawat wilayah lain di negara ini.

Pelawat dari negara dan wilayah yang akan dikecualikan kuarantin wajib mulai hari ini termasuk Australia, Kemboja, China, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Arab Saudi, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Taiwan dan Hong Kong.

Senarai negara itu akan disemak semula oleh Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dan kemas kini seterusnya adalah pada 1 Disember dan 1 Januarii.

Akhbar harian Thai English Bangkok Post melaporkan pengurus besar Lapangan Terbang Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn berkata sebanyak 61 penerbangan dijadualkan tiba pada Isnin dengan kira-kira 3,000 penumpang, termasuk 700 warga Thailand yang pulang ke tanah air.

Selain itu, bermula pada 1 November, pelawat yang lengkap divaksin dari negara yang tiada dalam senarai negara berisiko rendah boleh melancong ke 17 destinasi pelancongan 'Zon Biru' termasuk Bangkok, Phuket, Krabi, Phang-Nga dan mereka mesti menjalani kuarantin tujuh hari sebelum melancong ke wilayah lain dalam negara itu.- Bernama