SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menetapkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah berbincang dengan Naib Presiden PKR, Tian Chua dan melakukan proses saringan daripada setiap cabang, pusat dan negeri pada Ahad.
"Saya sudah melakukan proses perbincangan dengan saudara Tian Chua namun belum tentukan siapa calon yang mewakili parti ini.
"Kami lakukan proses saringan daripada pelbagai pihak, dari cabang, bahagian, Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN), Jabatan Pilihanraya Parlimen (JPRP) sehinggalah peringkat pusat.
"Kalau saya diberi pilihan, sangat sukar kerana saya tahu setiap kali pilihan raya ada yang kesal,” katanya ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) PRU DUN Melaka ke-15 secara maya pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan tersebut perlu dibuat dengan sabar dan bijaksana untuk memberikan pandangan.
"Kami akan muktamadkan dalam satu atau dua hari ini.
Lambat sangat tidak boleh, awal sangat pun tidak boleh. Kalau awal parti-parti lain (musuh) tahu taktik kita.
"Jadi saya harap saudara-saudara gunakan kebijaksanaan ini kerana kami ada agenda perubahan.
Orang boleh sinis, tegur tetapi kita mesti melihat kepada 'track record' dan juga keupayaan untuk menjana perubahan,” katanya.
Tambah Anwar, beliau berharap mana-mana calon yang akan bertanding dan penggerak perlu jelas matlamatnya supaya lebih hebat dari sebelumnya.
"Kita mahu jadi hebat tetapi kita tonjolkan pimpinan yang rakus, rasuah dan politik yang kejar kekuatan yang tidak akan memberi manfaat kepada rakyat.
"Jadi sebab itu bagi kita, sama ada menjadi calon atau penggerak, kalau ada jelas matlamat ini saya fikir kita akan beri sesuatu jawapan dan alternatif yang jauh lebih baik lagi dengan satu kekuatan, majoriti yang sahih dan kukuh yang dapat menentukan garis haluan, utamanya membela nasib rakyat,” katanya.
Menurut Anwar, PH perlu bangkit tingkatkan kesedaran dan bekerja sebagai satu pasukan yang mantap dan menempa sejarah mengangkat kehebatan Melaka.