‘Jangan jadi ejen penyebar Covid-19’

Iklan
Ab Ghani

PEMINAT Liga Malaysia (Liga-M) yang akan mula membanjiri stadium bagi menyaksikan Piala Malaysia bermula Jumaat ini diingatkan supaya tidak menjadi ejen penyebaran Covid-19 sehingga menjejaskan kemeriahan ulang tahun 100 tahun kejuaraan tertua negara itu.

Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, penyokong termasuk pihak pengurusan, pegawai dan pemain juga perlu lebih berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan
Iklan

"Komuniti Liga-M perlu menghindari tercetusnya kluster bola sepak dari stadium dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Namun paling penting dalam kalangan penyokong juga perlu memastikan tahap kesihatan diri berada pada tahap terbaik sebelum ke stadium.

"Ada juga pegawai dari MKN dan KKM yang memantau perjalanan SOP di setiap venue perlawanan sepanjang baki saingan ini. Jika terdapat laporan pelanggaran SOP, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pasukan tuan rumah termasuk larangan beraksi di venue tersebut.

Iklan

"Jangan kerana terlalu teruja untuk ke stadium bagi menyokong pasukan masing-masing, sehingga terdapat dalam kalangan penyokong yang alpa terhadap pematuhan SOP yang telah ditetapkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Ab Ghani turut mengingatkan semua pengurusan kelab Liga-M pada saingan Piala Malaysia untuk meningkatkan tahap disiplin pematuhan SOP pada tahap tinggi.

Iklan

Beliau berkata, pematuhan SOP dalam kalangan pegawai dan pemain kelab tidak hanya semasa perlawanan dan sesi latihan, tetapi juga penting semasa berada di luar ruang lingkup aktiviti bola sepak.

"Insiden menimpa Negeri Sembilan yang terpaksa menarik diri selepas terdapat dalam kalangan warga kelab itu yang disahkan positif Covid-19 merupakan perkhabaran mendukacitakan.

"Insiden yang berlaku tidak hanya menyebabkan pasukan Negeri Sembilan FC terpaksa melupakan baki saingan, tetapi juga satu kerugian buat penyokong-penyokong pasukan yang baharu sahaja meraikan kejayaan menjulang Liga Premier 2021.

"Jadi saya sekali lagi ingin berpesan kepada semua pasukan yang bertanding mengambil iktibar dan pengalaman tragedi yang menimpa Negeri Sembilan FC sebagai pengajaran,”ujarnya.