Rimau belum cukup garang

Iklan
Barisan pemain muda negara menampilkan prestasi baik sepanjang menghadapi tiga perlawanan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia. -Foto: FB FAM

PENGENDALI skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Brad Maloney perlu mencari kombinasi serangan terbaik bagi menghadapi Piala Asia B-23 di Uzbekistan, pada Jun tahun depan.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, jentera serangan yang diketuai Luqman Hakim Shamsudin agak tumpul yang menyaksikan skuad negara hanya mampu merekodkan dua gol dalam tiga aksi kelayakan di Ulaanbaatar, Mongolia.

Iklan
Iklan

"Kita harus akui skuad muda negara bermain dengan sangat cemerlang di Mongolia sehingga berjaya menyambar tiket automatik ke Piala Asia tahun depan, namun saya rasa barisan serangan perlu diperbaiki.

"Secara keseluruhannya, saya lihat kombinasi serangan Malaysia seperti masih tercari-cari rentak sehingga kadang-kadang saya lihat Luqman Hakim bermain berseorangan tanpa ada sokongan.

Iklan

"Saya rasa coach Maloney perlu mengukuhkan lagi bahagian serangan, cari gandingan baharu yang boleh bergandingan bersama Luqman Hakim. Dia dah beraksi baik, cuma tiada sokongan sehingga sukar menjaringkan gol,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Anak-anak buah Maloney mengesahkan slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada tahun depan apabila muncul juara Kumpulan J dengan meraih tujuh mata.

Iklan

Kemenangan 1-0 masing-masing ke atas Laos dan Mongolia selain seri tanpa jaringan menentang pasukan pilihan, Thailand sudah cukup buat skuad muda negara mengulangi kejayaan mara ke pusingan akhir edisi 2018 di China.

Dalam pada itu, Mohd Azraai bersetuju dengan cadangan beberapa pihak untuk menyenaraikan duo bintang muda Johor Darul Ta’zim - Ramadhan Saifullah Usman dan Arif Aiman Mohd Hanapi bagi memperkuatkan jentera serangan negara.

Beliau memberitahu, kualiti yang dimiliki kedua-dua pemain tersebut bakal memberi nilai tambah kepada barisan serangan Malaysia apabila menghadapi ujian lebih getir di Uzbekistan nanti.

"Saya rasa Luqman Hakim, Ramadhan dan Arif Aiman boleh membina gandingan tiga serangkai yang mantap di bahagian serangan. Jika Ramadhan dan Arif dibenarkan beraksi dengan skuad negara, coach Maloney perlu kerap gandingkan mereka untuk membina keserasian yang jitu,” jelasnya.

Penganalisis bola sepak, Azlan Johar turut senada dengan pandangan Mohd Azraai yang mana beliau melihat jentera serangan harus segera diperkemas sebelum skuad negara memulakan kempen di Uzbekistan.

"Bagi menyelesaikan masalah itu, saya rasa barisan kejurulatihan perlu memperbanyak individual coaching kepada penyerang negara. Dari situ, kemungkinan besar masalah serangan dapat diatasi.

"Pembantu coach Maloney, Khan Hung Meng juga merupakan seorang penyerang berbisa suatu ketika dahulu. Mungkin dia lebih arif bagi mempertajamkan lagi jentera serangan skuad negara sebelum aksi di Uzbekistan,” ujarnya.