Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggesa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) segera membuat laporan jika terdapat mana-mana pihak yang cuba memainkan isu perkauman supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap apa sahaja tindakan berbaur perkauman atau diskriminasi seperti yang didedahkan Sabah FC pada Ahad.
"Bagi saya, isu perkauman ini satu isu yang besar, apatah lagi kita di Malaysia ini hidup dalam komuniti yang mempunyai pelbagai kaum. Sekarang kalau dilihat banyak isu perkauman berlaku di media sosial.
"Jadi saya meminta pasukan atau mana-mana individu melihat ada pihak yang cuba memainkan isu tersebut, segera laporkan kepada pihak polis Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya boleh diambil tindakan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Sabah FC dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya memandang serius sebarang hantaran atau komen berbaur perkauman terutama terhadap barisan pemainnya.
Kenyataan itu dibuat oleh kelab tersebut susulan hantaran seorang pengguna media sosial melibatkan penyerang Sabah FC, N Thanabalan di laman Facebook penyokong Sabah FC baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ab Ghani berkata, mana-mana penyokong tidak mempunyai masalah untuk bersuara atau mengkritik kelab masing-masing, namun perlu beretika dan tidak menyentuh isu-isu sensitif.
"Dalam bola sepak atau apa sahaja sukan, kita boleh melemparkan komen jika tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan pemain atau atlet, namun, janganlah melemparkan komen-komen negatif yang kadangkala menyentuh isu sensitif,” tegasnya.