KES jenayah syariah semakin berleluasa dan kompleks sehingga memberi kesan kepada kredibiliti pendakwa syarie dan penguat kuasa agama di negara ini.
Kekurangan bilangan pendakwa syarie dan penguat kuasa agama di beberapa negeri dalam menegakkan perundangan syariah penting untuk menangkis kes-kes ajaran sesat.
Antaranya seperti Qadiani, Ayah Pin, Rasul Melayu, Tuhan Harun dan penyebaran ajaran yang tidak berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah didapati semakin kerap berlaku.
Pada Isnin, kerajaan negeri Kelantan akan mula melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini dengan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pelaksanaan enakmen itu dibuat selepas mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Tambahnya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 telah memilih kaedah pelaksanaan hukuman retributif (hukuman setimpal dengan kesalahan) dan restoratif (hukuman bersifat pemulihan) untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah,
Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan Seminar Penerangan, Pencegahan dan Kesedaran Undang-Undang Syariah peringkat Wilayah Persekutuan.
Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, seramai 250 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan dan swasta hadir ke seminar yang berlangsung di dewan serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesalahan jenayah syariah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.
Sementara itu, Agensi penguatkuasaan di Pahang akan ditambah baik dengan memberi kuasa dan peranan yang lebih besar dalam mengendalikan kes syariah di negeri itu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kaedah itu dapat membantu mempercepatkan pengendalian sesuatu kes dengan lebih berkesan.
Katanya, Pahang sudah lama melaksanakan pengasingan kuasa terhadap dua agensi penguatkuasaan agama dan pendakwa syarie. Dua agensi ini sudah mampu berdikari dengan kuasa yang telah diberikan untuk melakukan tugas dan peranan mereka.
Tambah Syed Ibrahim, pihaknya dalam proses menambah baik agensi ini dengan menambah bilangan pekerja bagi memastikan kelancaran tugasan membabitkan pelbagai isu agama.
Selain itu, kerajaan perlu menubuhkan Jabatan Pendakwa Syarie Negara bagi memperkasakan peranan pendakwa syarie dan penguat kuasa agama, seterusnya memperhebatkan lagi fungsi institusi syariah di negara ini.
Presiden Pertubuhan Pengamal Undang-undang Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam), Noorazmir Zakaria berkata, dengan inisiatif tersebut, Jabatan Pendakwa Syarie Negara akan berfungsi setaraf dengan Jabatan Peguam Negara.
Beliau berkata, dalam kata lain jawatan Ketua Pendakwa Syarie juga akan setaraf dengan Peguam Negara.
Ujarnya, usaha ini akan membolehkan Jabatan Pendakwa Syarie Negara menerima bajet khusus daripada kerajaan.
Jelas beliau, masalah institusi syariah di Malaysia ketika ini adalah disebabkan kekurangan bajet. Badan pendakwa syarie dan penguat kuasa agama terletak di bawah negeri dan bajet pula terhad