Celcom ambil alih Infront

Iklan
Idham

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) memperkukuh posisinya dalam perkhidmatan komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) melalui pengambilalihan Infront Consulting Group (M) Sdn. Bhd (Infront).

Celcom dalam satu kenyataan berkata, pengambilalihan Infront telah memperkasa sasaran Celcom dalam perkhidmatan ICT khususnya dalam perkhidmatan perkomputeran awan dan Rangkaian Terurus yang bakal memenuhi keperluan perusahaan di Malaysia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Iklan
Iklan

"Celcom juga akan memanfaatkan kepakaran Infront bagi menyediakan kit digital berasaskan perkomputeran awan yang inovatif dan mampu dimiliki bagi membolehkan perniagaan mikro tempatan dan PKS melaksanakan transformasi digital bagi perniagaan mereka,” jelas kenyataan itu pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, usaha mengambil alih Infront melengkapkan kekuatan Celcom sebagai sebuah syarikat penyedia kesalinghubungan dan penyelesaian bagi perniagaan di Malaysia.

Iklan

"Dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat bersama teknologi awan, PKS tidak lama lagi akan mempunyai akses kepada kit penyelesaian digital sehenti yang mampu dimiliki bagi semua fungsi perniagaan mereka.

”Bersama teknologi 5G yang akan mendatang, Celcom akan terus bekerjasama dengan pemain digital yang sesuai dan melabur bagi mendapatkan solusi dan perkhidmatan digital yang terbaik. Sebagai mendokong peranan kami sebagai pemangkin digital, kami ingin membantu peniaga-peniaga tempatan berkembang secara digital dan membolehkan mereka beroperasi dengan mampan dalam norma baharu” katanya.

Iklan

Bagi Pengarah Urusan Infront, Raymond Chou berkata, matlamat mereka adalah menambah baik kehidupan melalui teknologi.

"Saya teruja dengan masa akan datang kerana saya percaya bahawa kerjasama ini akan membuka laluan baharu untuk kami membawakan solusi yang lebih bermakna dan juga menambah baik perniagaan dalam pasaran.

"Semua perniagaan perlu memanfaatkan teknologi bagi melonjak ke hadapan dalam era baharu perdagangan, sejajar dengan matlamat Celcom dan Infront untuk mempertingkat kecekapan bagi pertumbuhan perniagaan kepada pelanggan kami, yang menjadi faktor utama dalam kerjasama ini,” katanya.

Beliau berkata, melalui pengambilalihan itu, Infront akan menyediakan sistem integrasi teknikal yang mendalam, pembangunan, dan keupayaan jualan kepada Celcom, serta membantu untuk membina kekuatan bagi pasaran tempatan dalam perkhidmatan dan penyelesaian perkomputeran awan.