PASUKAN Terengganu FC (TFC) akan memberi tumpuan untuk memperkukuh benteng pertahanan bagi menghadapi perlawanan timbal balik menentang Perak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.
Ketua jurulatih Nafuzi Zain berkata, walaupun berjaya mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas skuad Bos Gaurus dalam aksi Piala Malaysia di Ipoh tempoh hari, masih terdapat kelemahan ketara di posisi terbabit yang perlu diatasi segera.
"Saya penuh yakin dan percaya dengan kemampuan pemain untuk mengulangi kejayaan sama tempoh hari, apatah lagi kali ini kita bermain di tempat dan hadapan penonton sendiri.
"Tetapi kita perlu segera memperkuat benteng pertahanan daripada mudah ditembusi pihak lawan dan menjadi ancaman buat pasukan seperti mana berlaku di separuh masa pertama perlawanan Ahad lepas," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
TFC kini menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan sembilan mata selepas mencatat rekod bersih tiga kemenangan dalam tiga perlawanan dan diikuti Selangor dengan enam mata.
Tambah Nafuzi selain jentera pertahanan, beliau juga masih memikirkan sama ada untuk mengekalkan gandingan Dechi Marcel, Lee Tuck dan Habib Haroon yang menjadi watak penting dalam mencorak kemenangan TFC di Perak tempoh hari.
Ia bagi memberi peluang dan pengalaman kepada pemain-pemain lain beraksi di padang dan membantu pasukan meraih kemenangan.
"Apa pun kita kena lihat macam mana prestasi mereka (pemain) semasa latihan.
"Setakat ini saya puas hati kerana kita punya banyak pilihan dan tiada pemain cedera kecuali penjaga gol, Suhaimi Hussin," katanya yang tidak sabar untuk melihat anak buahnya beraksi di hadapan penonton skuad Penyu itu nanti.- Bernama