KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI]"Secara jujurnya, saya maafkan tertuduh yang buat anak saya. Bila saya maafkan, mungkin ada kelegaan di hati," demikian kata Zulkarnain Idros iaitu bapa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam bekas penuntut UPNM yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh anaknya itu.
Zulkarnain, 57, berkata, dia berasa berat untuk mengutarakan perkara itu dan jika diikutkan hati, timbul rasa tidak puas hati dengan situasi yang berlaku.
Namun katanya, dia memaafkan perbuatan kesemua tertuduh dan akur dengan keputusan mahkamah.
Dia berkata, peristiwa itu pastinya sukar untuk dilupakan dan kekal dalam memori keluarga.
Selain itu, dia yang kini bekerja sebagai pemandu teksi berkata, dia terkilan kerana keluarga dan tertuduh sendiri (yang diikat jamin) tidak bertemu dengan keluarganya untuk memohon maaf.
"Hanya satu keluarga datang jumpa saya atas perbuatan anaknya, yang lain seolah-olah buat anak saya pula yang bersalah, macam anak saya pula yang bunuh anak mereka.
"Janganlah begitu, kita sebagai ibu bapa janganlah putuskan silaturahim, buat baiklah,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah pada Selasa.
Dalam masa sama, Zulkarnain juga menitipkan pesanan kepada orang awam supaya tidak menjadi pembuli
"Saya pesan kepada masyarakat di luar sana, jangan jadi pembuli.
"Contohnya seperti saya, kalau buli membahayakan masyarakat menghilangkan nyawa, kesannya kepada kedua ibu bapa... saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga," luahnya.
Sebelum itu, suasana senyap seketika apabila isterinya, Hawa Osman menahan sebak ketika memberi keterangan impak di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah sejurus sebelum hukuman terhadap kesemua tertuduh dijatuhkan.
Enam tertuduh berkenaan bersama-sama 12 lagi bekas penuntut UPNM turut didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.
Wanita berusia 58 tahun itu berkata, peristiwa yang menimpa anak sulungnya, empat tahun lalu telah mengubah perjalanan hidup mereka sekeluarga.
Dia yang bekerja sebagai kerani sekolah menengah berkata, selain menghadapi masalah kesihatan, ia turut menjejaskan ekonomi dan psikologi mereka.
Paling ketara katanya, kesedihan yang melampau pada tahun 2018 menyebabkan dia mengalami masalah katarak yang serius akibat kerap menangis serta mengalami darah tinggi kerana tidak dapat tidur.
Menurutnya, insiden di UPNM itu tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini dan sentiasa berulang-ulang dalam pemikirannya.
"Setiap hari saya bimbang dengan keselamatan anak-anak, saya takut untuk melepaskan mereka, setiap kali berjauhan, timbul rasa risau dengan tahap keselamatan mereka sehingga menyebabkan saya menghubungi mereka secara kerap.
"Saya trauma untuk melepaskan mereka untuk berdikari, meskipun untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi kerana bimbang kejadian itu akan berulang kembali,” katanya.
Selain itu beliau berkata, dia berasa takut untuk membenarkan anak-anak lain memasuki badan beruniform.
Sekiranya arwah masih hidup dia berkata, dialah yang akan membantu keluarga untuk membiayai adik-adik yang lain menyambung pelajaran di universiti.
"Saya mahukan hukuman yang setimpal terhadap kesemua tertuduh yang menyebabkan saya kehilangan insan yang sangat bermakna dalam hidup saya dan hukuman itu kelak menjadi contoh kepada masyarakat lain supaya lebih berhati-hati dalam bertindak.
"Saya harap kejadian sebegini tidak berulang kepada ibu bapa yang lain dan merasai keperitan kehilangan anak yang disayangi apatah lagi merupakan harapan keluarga,” katanya.