Tun M minta kerajaan hati-hati berbelanja

Iklan
Dr Mahathir - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan berhati-hati dalam berbelanja menerusi Bajet 2022 agar beban hutang tidak dihempas ke atas belakang generasi akan datang.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya hutang negara itu tidak dibayar, negara akan diisytiharkan bankrap pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

Katanya, jumlah Bajet 2022 adalah yang terbesar dalam sejarah negara kerana sebanyak RM332 bilion akan dibelanjakan.

"Tetapi pendapatan kerajaan pada 2022 adalah sebanyak RM234 bilion, jadi daripada manakah lebihan sebanyak RM98 bilion akan datang?

Iklan

"Kemungkinan besar kerajaan akan berhutang. Dari RM332 bilion peruntukan itu, RM98 bilion akan dihutang," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 pada Selasa.

Mengulas lanjut, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, negara sedang menanggung hutang lebih RM1 trilion ketika ini dan dengan hutang baharu itu, jumlahnya akan terus meningkat.

Iklan

Tegasnya, kerajaan sekarang perlu berhati-hati agar tidak membebankan kerajaan-kerajaan yang akan datang.

Menurutnya, dalam Bajet 2022 juga tidak disebut tentang usaha untuk mengurangkan perbelanjaan negara.

"Saya faham perlu kita belanja lebih untuk melawan pandemik Covid-19 dan kemerosotan ekonomi tetapi kita tidak tunjuk minat untuk dapat balik wang yang telah diselewengkan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, peruntukan dalam Bajet 2022 juga sebenarnya boleh dikurangkan dalam bidang pendidikan, pertanian dan komunikasi dengan penggunaan teknologi baharu dan penswastaan.

Katanya, contohnya dalam bidang komunikasi, kerajaan dapat menyelamatkan sejumlah wang yang tidak kecil dalam bajet jika projek pembangunan teknologi terkini diswastakan.