BARISAN pemain muda negara mesti mendapat minit permainan secukupnya bersama pasukan di peringkat domestik untuk memastikan Malaysia tidak sekadar mengambil bahagian sebaliknya mampu memberi tentangan pada kempen Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022.
Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata, minit permainan amat penting dalam persediaan pemain muda khususnya tonggak skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara menghadapi cabaran sengit kempen itu yang akan berlangsung di Uzbekistan.
Menjadikan antara pasukan gergasi di rantau Asia seperti Korea Selatan, Australia dan Jepun sebagai contoh, pengendali Sabah FC itu berkata kebanyakan pemain mereka beraksi di liga utama negara masing-masing, malah ada yang turut menimba pengalaman di luar negara.
"Sekalipun persiapan (pasukan kebangsaan) singkat tetapi pendedahan yang mereka terima daripada bermain setiap minggu, memberi mereka kelebihan dan situasi sama juga dengan pemain kita.
"Saya harap pemain-pemain ini (skuad B-22 negara) dapat bermain setiap minggu. Terutamanya di awal saingan liga musim depan mereka bermain setiap minggu, ini dapat membantu dari segi intensiti dan persiapan diri mereka sebelum dipanggil ke kejohanan antarabangsa,” katanya.
Kim Swee yang pernah menggalas tanggungjawab membimbing skuad B-22 negara mengakui faktor kepercayaan menjadi cabaran utama kepada pengendali pasukan untuk mempertaruhkan pemain muda atau baharu dalam perlawanan-perlawanan utama.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Melaka itu menegaskan elemen diperlukan setiap pemain muda dalam mencapai kematangan permainan adalah peluang dan pendedahan.
"Jika peluang dan pendedahan tidak diberi kita tidak akan nampak kemajuan pemain dan ia akan terbantut. Walaupun kita mempunyai ramai bakat, jika tidak bermain secara kompetitif ia akan melambatkan proses kematangan mereka,” kata pengendali berusia 50 tahun itu.
Skuad B-22 negara kendalian Ketua Jurulatih Brad Maloney layak secara automatik ke Piala Asia B-23 2022 selepas menjuarai saingan Kumpulan J pusingan kelayakan itu di Ulaanbaatar, Mongolia baru-baru ini dengan menewaskan Laos dan tuan rumah, masing-masing 1-0 sebelum seri tanpa jaringan menentang Thailand.
Ini kali kedua pasukan muda negara layak beraksi di pusingan akhir kejohanan berkenaan sejak ia mula dianjurkan pada awal 2014 dan bakal memasuki edisi kelima penganjurannya tahun depan.
Sebagai rekod, Kim Swee dan skuad B-22 negara mencipta sejarah membawa Malaysia layak buat pertama kali ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2018 di China dan berjaya melangkah ke pusingan kalah mati selaku naib juara saingan kumpulan sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan di pusingan suku akhir.
Bagaimanapun, skrip sama gagal diulang apabila Malaysia tidak berjaya melayakkan diri ke Piala Asia B-23 2020 selepas menamatkan saingan kelayakan di kedudukan kedua dan terlepas daripada menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan naib juara terbaik setiap kumpulan.
Namun, Kim Swee memiliki beberapa rekod kejayaan sepanjang mengemudi pasukan di peringkat remaja termasuk ketika membimbing skuad Harimau Muda dan skuad B-22 negara selain bertanggungjawab membentuk ramai pemain remaja yang akhirnya mewakili skuad senior kebangsaan.
Antara koleksi kejuaraan diraih sepanjang membimbing pasukan negara adalah juara Piala Belia 2007, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011 dan juara Pestabola Merdeka 2013. - Bernama