Thailand tetapkan sasaran baharu bebas karbon

Iklan
Prayuth Chan o-cha. - Foto fail Reuters

BANGKOK - Thailand menyasarkan untuk memperkukuh usaha dalam tindakan perubahan iklim dengan meningkatkan kemampuan Nationally Determined Contribution (NDC) kepada 40 peratus, dan mencapai Pelepasan Sifar Bersih pada 2050.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia Konvensyen Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim di Glasgow, United Kingdom, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menekankan komitmen dan kesediaan negara untuk menjadi lebih agresif dalam menangani perubahan iklim.

Iklan
Iklan

"Dengan sokongan pemindahan dan kerjasama teknologi yang mencukupi, tepat pada masanya dan saksama dan paling penting ketersediaan serta akses kepada kemudahan pembiayaan hijau yang mencukupi, Thailand boleh meningkatkan NDC kepada 40 peratus selain mencapai Pelepasan Sifar Bersih pada 2050,” katanya.

Prayuth berkata, Thailand telah menetapkan matlamat Nationally Appropriate Mitigation Actions (NAMA) di bawah Konvensyen Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) untuk mengurangkan Gas Rumah Hijau (GHG) daripada sektor tenaga dan pengangkutan sebanyak sekurang-kurangnya tujuh peratus menjelang 2020.

Iklan

Beliau menambah pada 2019 Thailand telah mengurangkan GHG sebanyak 17 peratus iaitu lebih dua kali ganda berbanding paras sasaran dan setahun lebih awal daripada jadual.

"Thailand juga merupakan antara negara pertama menyerahkan NDC yang disemak semula dan Strategi Pembangunan Pelepasan GHG Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) kepada UNFCCC, dan telah menyediakan rancangan di peringkat antarabangsa dan tempatan,” katanya.

Iklan

Prayuth juga menyatakan kesediaan Thailand untuk bekerjasama dengan semua negara dan sektor untuk mencapai matlamat bersama untuk"masa depan anak-anak kita”.

Beliau juga menyeru supaya setiap negara memelihara dan melindungi dunia kerana tiada 'Pelan B' untuk pencegahan iklim.

Dunia perlu mengekalkan suhu di bawah 1.5 darjah Celsius di atas paras pra-industri untuk mencapai pelepasan gas"sifar bersih" menjelang 2050.

Memandangkan Thailand bakal tuan rumah Sidang Kemuncak APEC pada 2022, Prayuth berkata, negara itu telah menetapkan Bio-Circular-Green Economic Model atau BCG sebagai agenda utama mesyuarat. -Bernama