1,231 anggota APM Kelantan sedia hadapi Monsun Timur Laut

Iklan
Mohd Zul Khairi (tengah) melihat sebahagian jaket keselamatan dan aset kelengkapan milik jabatan APM negeri sebagai persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh ketika ditemui Bernama di Pejabat APM Kelantan di Jalan Bayam di sini. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Seramai 1,231 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan sedia diatur gerak bagi menghadapi Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang dijangka bermula Rabu dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Timbalan Pengarah APM Kelantan Lt Kol Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, selain anggota, pihaknya juga memiliki 157 kekuatan logistik serta 700 jaket keselamatan yang boleh digunakan dalam tempoh tersebut.

Iklan
Iklan

Katanya, daripada jumlah itu terdapat 81 pelbagai jenis bot termasuk fiber dan Rigid Inflatable Boats, 15 pelbagai jenis lori dan 61 treler yang akan digunakan dalam operasi banjir.

"APM selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah telah melakukan latihan simulasi mengendalikan aset sebagai persediaan awal menghadapi banjir selain mesyuarat penyelarasan pasukan tindak balas bencana bersama agensi lain turut dilaksanakan.

Iklan

"Dari segi penugasan pengoperasian banjir, pasukan penyelamat akan digerakkan berdasarkan zon. Sekiranya, APM telah bertugas di Zon A, maka agensi penyelamat lain akan ke zon lain. Ini untuk mengelak berdepan dengan kerugian tenaga kerja, logistik dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Bernama di Pejabat APM Kelantan, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Zul Khairi berkata, setakat ini 539 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah digazet untuk bencana dengan kemampuan untuk menampung seramai 200,000 mangsa.

Iklan

Katanya, bagaimanapun memandangkan negara berdepan dengan pandemik Covid-19, anggaran kapasiti untuk menempatkan mangsa setelah mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) adalah 50 peratus daripada kapasiti asal.

"Perkara ini akan dinilai oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dengan mengambil nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM). Mangsa yang mempunyai simptom termasuk yang positif serta menjadi kontak rapat juga akan diasingkan untuk mengelakkan sebarang penularan di PPS.

"Setakat ini, 20 PPS kategori Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk menempatkan mangsa kategori itu. Daripada jumlah itu sebanyak lima PPS berkenaan di Pasir Mas dan selebihnya di daerah-daerah lain,” katanya.

Beliau berkata, kawasan yang dijangka terjejas teruk mengikut kebiasaan yang berlaku sebelum ini memandangkan hampir setiap tahun berlaku banjir adalah di Kuala Krai dan Pasir Mas termasuk kawasan jajaran Sungai Golok.

Mohd Zul Khairi berkata, sekiranya banjir berlaku dari hulu iaitu di Gua Musang berkemungkinan selepas hanya beberapa jam iaitu sekitar empat jam, banjir akan melanda Kuala Krai, Machang, Tanah Merah seterusnya ke kawasan lain.

"Seolahnya, Gua Musang menjadi penanda aras, jika teruk dari sana maka di sini pun akan teruk. Namun, kami berharap keadaan banjir pada tahun ini tidak teruk.

"Kami juga ingin menasihatkan penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko agar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Mereka diminta menyediakan beg kecemasan bencana yang mempunyai kit kebersihan diri, makanan sedia makan, dokumen penting dan sebagainya.

"Mangsa banjir juga diingatkan agar tidak menyembunyikan maklumat sekiranya mempunyai simptom dan menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19,” katanya.

Pada Isnin (1 Nov), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November ini hingga awal Januari 2022, susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula hari ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan. - Bernama