KUALA TERENGGANU - Seorang pejalan kaki maut dilanggar sebuah kereta di Jalan Kampung Wakaf Beruas, di sini kira-kira jam 8.45 malam pada Selasa.
Mangsa dikenali Hamidi Jusoh, 46, beralamat di Taman Permai, Marang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan seluruh anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati sebelum kemalangan berlaku kereta yang dipandu lelaki berusia 21 tahun datang dari arah lampu isyarat Kubang Parit menghala ke arah Kuala Terengganu.
"Setibanya di lokasi kejadian, difahamkan secara tiba-tiba mangsa yang berada di kanan jalan telah melintas.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta jenis Proton Saga Iswara Aeroback itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
"Akibat pelanggaran kuat itu, kepala mangsa terhantuk pada cermin hadapan kereta sebelum tercampak di atas jalan lebih kurang 17 meter di hadapan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Ismail, pemandu kereta yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu telah ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.