FAMA agih 850 kg pelbagai jenis sayuran

Iklan
Saiful mengagihkan sayuran dan pisang kepada ibu tunggal pada program MAFI Prihatin Pekan di Kolej Komuniti Pekan pada Rabu.

PEKAN - Sebanyak 850 kilogram (kg) pelbagai jenis sayuran termasuk pisang berangan telah diagihkan kepada 100 ketua isi rumah (KIRa) ibu tunggal di daerah ini.

Pengarah Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Saiful Sadri berkata, agihan itu dilakukan bagi membantu meringankan beban golongan ibu tunggal yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin merupakan kali pertama diadakan khusus untuk golongan terbabit.

"Sepanjang tahun ini kita mengadakan pelbagai program CSR di bawah MAFI membabitkan sumbangan sayuran dan buah-buahan kepada petugas barisan hadapan, rumah kebajikan, asnaf, mangsa bencana alam dan mereka yang terkesan dengan PKP.

Iklan

"Kita turut memberikan kira-kira 2.5 tan keledek, pisang dan labu manis kepada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh yang menempatkan 32 ekor gajah," katanya.

Beliau berkata demikian pada program MAFI Prihatin Pekan yang mengagihkan sayuran dan pisang berangan kepada 100 ibu tunggal di Kolej Komuniti Pekan pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pembangunan) FAMA, Yazid Yusob dan Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Noranyza Mohamad Yusoff.

Antara sayuran yang diagihkan ialah kacang bendi, sawi, terung mini, keledek oren dan ubi kayu serta pisang berangan.

Katanya, program terbabit juga dapat membantu memasarkan hasil pertanian yang dikeluarkan oleh enam usahawan FAMA di negeri ini.

Jelas Saiful, pihaknya akan terus mengadakan program MAFI prihatin FAMA Pahang secara berperingkat dalam usaha membantu golongan memerlukan.