Bank Negara kekalkan OPR pada 1.75 peratus

Iklan
Bank Negara Malaysia - Foto 123RF

BANK Negara Malaysia (BNM) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keenamnya yang diadakan pada hari ini, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Bank pusat itu telah mengekalkan kadar sama sejak Julai 2020.

Iklan
Iklan

Dalam kenyataannya selepas mesyuarat terakhir bagi tahun ini, BNM berkata sejajar dengan penilaian sebelum ini, purata inflasi keseluruhan dijangka berada dalam unjuran julat antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2021 selepas mencatat purata 2.3 peratus sejak awal tahun setakat ini.

Inflasi asas sepertimana diukur oleh inflasi teras, dijangka pada purata bawah 1.0 peratus pada 2021 manakala inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana pada tahun depan.

Iklan

Menurut BNM, inflasi teras dijangka meningkat sedikit namun masih di tahap rendah berikutan keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi serta dalam pasaran pekerja.

"Prospek itu bagaimanapun terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global dan beberapa risiko gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan,” kata BNM.

Iklan

BNM berkata, menjelang tahun depan, momentum pertumbuhan Malaysia dijangka semakin baik, disokong oleh pengembangan permintaan global dan peningkatan perbelanjaan sektor swasta yang sejajar dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi serta sokongan dasar yang berterusan.

Namun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan domestik.

"Ini termasuk pemulihan pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan akibat kesan varian baharu Covid-19 yang membimbangkan,” kata BNM.

Selain itu, katanya, ekonomi global terus berada pada landasan pemulihan, disokong oleh pengembangan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

"Inflasi turut meningkat dalam keadaan permintaan global yang terus kukuh, gangguan rantaian bekalan, harga komoditi yang lebih tinggi dan kekurangan tenaga kerja.

"Bagaimanapun, prospek pertumbuhan global akan disokong oleh kemajuan lanjut berkaitan liputan pemberian vaksin dan pelonggaran langkah-langkah pembendungan,” kata BNM.

Malah, menurut bank pusat itu, dalam beberapa ekonomi utama, dasar fiskal dan monetari yang besar akan terus menyokong momentum pemulihan.

Secara keseluruhan, BNM berkata, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan yang disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian membabitkan varian yang membimbangkan, risiko gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan serta potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara susulan pelarasan dasar monetari ekonomi utama.

"MPC menyifatkan pendirian dasar monetari sebagai wajar dan akomodatif.

"Selain itu, langkah-langkah fiskal dan monetari akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberi sokongan ke atas kegiatan ekonomi,” kata BNM.

Menurut BNM, berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Bank pusat itu juga akan terus komited untuk menggunakan mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi secara berterusan.

Dalam pada itu, MPC turut meluluskan jadual mesyuarat jawatankuasa tersebut bagi 2022 yang akan diadakan sebanyak enam kali setahun selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Mesyuarat terbabit akan diadakan selama dua hari dengan pengumuman pernyataan Dasar Monetari terbabit pada jam 3 petang pada hari kedua tersebut. - Bernama