MOSCOW - Syarikat penerbangan terbesar Kanada, Air Canada menggantung lebih 800 pekerja kerana belum menerima suntikan vaksin Covid-19, lapor Agensi Berita Sputnik memetik Global News pada Rabu.
Menurut laporan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Air Canada, Mochael Russo berkata, kebanyakan pekerja syarikat terbabit sudah lengkap divaksin sejajar dengan peraturan Covid-19 persekutuan.
"Pekerja kami sudah melaksanakan tanggungjawab mereka, dengan kini lebih 96 peratus sudah lengkap divaksin. Pekerja yang belum mendapat vaksin atau tidak mendapat pengecualian perubatan atau alasan kesihatan lain, dimasukkan ke dalam senarai pekerja yang bercuti tanpa gaji,” kata Russo yang dipetik Global News.
Awal Oktober, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengarahan syarikat penerbangan dan perkapalan supaya menyediakan dasar vaksinasi untuk pekerja mereka bermula 30 Oktober.
Bagi syarikat penerbangan, vaksinasi diwajibkan kepada pekerja serta petugas yang memasuki kawasan lapangan terbang. Ia termasuk pemegang konsesi dan petugas hospitaliti.
Setakat ini, sebanyak 1,720,355 kes Covid-19 dicatatkan di Kanada dengan 29,056 kematian. Kes harian di negara itu semakin berkurangan dengan 2,283 kes Covid-19 harian dicatatkan sehari.
Kanada sudah memberikan vaksin sekurang-kurangnya 58,756,154 dos iaitu hampir 78 peratus populasi sudah pun divaksin. - Bernama