BACHOK - Polis menahan tiga anggota kumpulan samun dan merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson, 34 butir peluru hidup, sepasang gari serta sejumlah dadah ketika berada dalam sebuah kereta di tepi tali air Kampung Keting dekat Gunong, di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 26 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada jam 1.30 pagi.
Beliau berkata, ketika ditahan untuk pemeriksaan mereka bertiga bertindak agresif, malah seorang suspek cuba memegang sesuatu menyerupai pistol di bahagian brek tangan kereta dan cuba mengacunya ke arah anggota polis tetapi berjaya dihalang.
"Pemeriksaan yang dilakukan mendapati ada sepucuk pistol yang berisi enam butir peluru bersama sepasang gari serta kunci di dalam kereta.
"Selepas ketiga-tiga suspek ditahan telah dilakukan pemeriksaan di dalam kenderaan dan hasilnya polis menemui pelbagai jenis dadah jenis syabu, pil kuda dan heroin di dalam kereta itu bernilai RM10,000," katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas Mesyuarat Ketua Polis Kelantan bersama Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah di sini pada Rabu.
Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan juga menemui sebanyak 28 butir lagi peluru hidup yang disembunyikan di dalam beg.
Shafien berkata, siasatan juga mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamin dan morfin selain mempunyai antara tujuh hingga 17 rekod jenayah.
Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati kumpulan ini sudah bergiat aktif sejak tiga bulan lepas dan polis juga akan melakukan siasatan dari mana kumpulan ini memperolehi senjata api itu.
"Polis Kelantan percaya dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek ianya dapat membantu menyelesaikan satu kes samun di Gua Musang pada awal bulan lalu yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan yang sama.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB, Seksyen 12(2) ADB, Seksyen 15(1)(a) ADB, Seksyen 89(a) Akta Polis 1967 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. -Bernama