JOHOR BAHRU - Pembuangan sisa kimia yang mengakibatkan pencemaran Sungai Kim Kim didakwa penduduk berhampiran telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, dakwanya keadaan yang berlaku sehingga mengakibatkan lebih 30 penduduk berhampiran dihantar ke hospital adalah yang paling serius pernah berlaku.
Menurut penduduk Kampung Bukit Pulai, Zulkifly Kassim, 50, sejak mendiami kawasan berkenaan 15 tahun lalu, keadaan sungai di kawasan itu sering berubah warna disyaki pembuangan sisa kimia dan sampah sarap.
"Saya menetap di sini sejak 2004, pada ketika itu air sungai ini jernih dan mempunyai banyak hidupan air seperti udang dan ikan-ikan.
"Bagaimanapun, sejak kawasan perindustrian mula membangun di kawasan ini, kualiti air semakin buruk.
"Sungai ini yang dahulunya dalam juga menjadi cetek. Kami bagaikan sudah lali dengan bau dan keadaan air sungai teruk,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Zulkifly berkata, keadaan kian berlarutan apabila tiada tindakan penguatkuasan diambil daripada pihak berkenaan meskipun aduan sudah dibuat.
"Kami menerusi penduduk telah beberapa kali mengajukan aduan kepada pihak berkuasa tempatan namun tiada tindakan drastik diambil.
Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Mohd Zaki Hitam, 50, berkata, bau bahan kimia terbabit mula berkurangan semalam berbanding hari sebelumnya.
"Masih ada bau di sungai ini, tapi tidaklah seteruk semalam. Saya dan keluarga mengambil langkah berjaga-jaga, kami hanya duduk di rumah dan tidak keluar jika tiada urusan penting,” katanya.