Peluang kerja antara fokus Belanjawan Selangor 2022: MB

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Penyediaan peluang pekerjaan yang menjadi penjamin kelangsungan hidup bagi rakyat menjadi antara fokus kerajaan negeri dalam Belanjawan Selangor 2022.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembentangan pada 26 November depan itu akan mengandungi beberapa usaha selaras dengan pembukaan semula sektor ekonomi.

Iklan
Iklan

"Saya pasti peluang pekerjaan menjadi pemberi harapan serta penjamin kelangsungan hidup.

"Aspek ini akan menjadi antara fokus utama dalam merangka Belanjawan (Selangor 2022) dengan harapan ia mampu memberikan 'booster' kepada ekonomi Selangor,” katanya.

Iklan

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata demikian menerusi perutusan Hari Deepavali di laman Facebooknya pada Rabu malam.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa inisiatif diusahakan kerajaan negeri sebelum ini bagi memelihara kelangsungan hidup serta membuka peluang pekerjaan bagi masyarakat India di negeri itu.

Iklan

Amirudin berkata, antaranya program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) yang menawarkan latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, bimbingan perniagaan serta bantuan peralatan perniagaan ataupun geran.

"Sehingga Oktober, lebih 2,000 peserta menyertai program ini," katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut meningkatkan bilangan Ketua Komuniti India daripada 48 kepada 62 orang sebagai kepentingan hubungan komuniti dalam masyarakat.

Sitham dilancarkan pada September 2019 menumpukan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Program tersebut menerima peruntukan RM1 juta setiap tahun dan usahawan yang berminat boleh memohon menerusi laman web Hijrah Selangor.

Malah kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.7 juta bagi menjayakan program India Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-SEED) pada April bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian peralatan niaga.

Amirudin dalam perutusan sama turut mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Deepavali bagi seluruh masyarakat Hindu dan Sikh di negara ini terutamanya penduduk Selangor.

"Saya pasti perayaan kali ini disambut dengan meriah dan penuh semangat,” katanya.