KUALA TERENGGANU - Masyarakat diminta agar lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan kecuaian seperti membuat pembakaran sampah terbuka sehingga menyebabkan kebakaran yang tidak dijangka pada musim panas ketika ini.
Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, apa yang dikesalkan, pembakaran sampah secara tidak terkawal dan membuang puntung rokok merata tempat akan menyebabkan faktor kebakaran terbuka meningkat.
Iklan
Iklan
"Sekiranya isu ini berleluasa tanpa kawalan dan tindakan yang ketat, ia boleh mengakibatkan kemusnahan khazanah biodiversiti dan pencemaran udara termasuklah jerebu teruk seperti mana yang berlaku pada tahun 1997 dan 2015, sekali gus memberi kesan kepada kesihatan manusia.
"Larangan pembakaran terbuka tidak boleh dilakukan hanya dengan arahan semata-mata tetapi perlu disertai dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan tegas iaitu merujuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang berkaitan,” katanya.
Jelas Alias, bagi mengatasi masalah ini, pemantauan berkala daripada pihak berwajib perlu dipergiatkan bagi kawasan atau hutan yang kebarangkalian terjadi pembakaran pada musim panas di setiap negeri.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid dilaporkan berkata, kebakaran terbuka di seluruh negara meningkat pada bulan Februari sebanyak 3,054 kes iaitu 58 peratus yang dilaporkan berbanding 1,936 kes pada Januari.
Artikel Berkaitan