GEORGINIO Wijnaldum akhirnya menemui sentuhan jaringan apabila menjaringkan dua gol pertamanya untuk kelab baharunya Paris St Germain (PSG), ketika penalti minit penghujung perlawanan menyelamatkan RB Leipzig untuk keputusan seri 2-2 dalam perlawanan Kumpulan A saingan Liga Juara-Juara di Red Bull Arena Leipzig.
Pemain Belanda itu, yang bergelut selepas menyertai Liverpool musim ini, menjaringkan gol pada minit ke-21 diikuti gol tandukan enam minit sebelum berakhir babak pertama.
Tuan rumah yang tersingkir daripada pertandingan apabila hanya berjaya mengumpul satu mata daripada empat perlawanan, terlebih dulu mendahului menerusi Christopher Nkunku pada minit kelapan.
Namun RB Leipzig berpeluang melebarkan kedudukan, namun sepakan penalti Andre Silva pada minit ke-12 gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan..
Biarpun begitu, pemain gantian Dominik Szoboszlai berjaya menyelamatkan maruah gergasi Bundesliga itu apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk satu mata buat kelab Jerman tersebut.
PSG bertandang ke laman lawan tanpa kelibat Lionel Messi yang cedera, kini di kedudukan kedua dengan lapan mata, satu mata di belakang Manchester City diikuti Club Brugge keempat dan Leipzig tercorot dengan satu mata.
Menurut Wijnaldum, PSG mencipta banyak peluang, namun pada masa sama memberikan Leipzig sedikit peluang menyebabkan tuan rumah kembali dalam permainan.
"Ada kalanya kami memudahkan mereka. Jika anda melihat pada penghujung permainan kami kehilangan bola terlalu kerap. Kami juga tidak menterjemahkan peluang dalam bentuk jaringan. Ya, mungkin Leipzig berhak mendapat mata.
"Situasi semasa prestasi pula, saya bekerja keras setiap hari dan semakin mengenali rakan sepasukan dengan lebih baik. Harap-harap saya dapat meneruskan prestasi ini," kata Wijnaldum