SHAH ALAM - Fenomena air pasang besar di Kampung Tok Muda, Klang dalam keadaan terkawal dan tiada penempatan penduduk terjejas.
Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, pemantauan pihaknya dilakukan di kawasan itu melalui darat dan udara.
Menurut kenyataan itu, sebanyak sembilan agensi terlibat dalam pemantauan di Kampung Tok Muda membabitkan UPBN Selangor, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Agensi lain terlibat Skuad Pantas Klang, penghulu dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," kata kenyataan itu pada Khamis.
Kenyataan itu memberitahu, pihaknya bersama agensi lain yang sudah membuat persiapan di Kampung Tok Muda mendapati tiada penempatan yang terjejas.
"Keadaan ketika ini terkawal dan limpahan air semakin surut," kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, paras aras air tertinggi dicatatkan pada Khamis ialah 5.5 meter pada jam 5.21 pagi.
"Paras air tertinggi dijangka dicatatkan pada Jumaat iaitu 5.6 meter," katanya.