PEMAIN badminton perseorangan utama negara, Lee Zii Jia terpaksa berhempas pulas sebelum memenangi perlawanan dan layak ke pusingan kedua Terbuka Hylo 2021 di Jerman, pada Rabu.
Walaupun menang mudah set pertama 21-11, juara All England itu tewas kepada pemain berpengalaman dari Sepanyol, Pablo Abian yang menang set kedua 23-21.
Pada set penentuan, Pablo memaksa Zii Jia untuk bekerja keras sebelum hingga ke akhir perlawanan dengan Zii Jia menang 24-22 dan layak ke pusingan kedua.
Selaku pemain pilihan kedua kejohanan, Zii Jia akan bertemu pemain bukan pilihan dari Ireland Nhat Nguyen pada Khamis selepas pemain itu mengalahkan H S Prannoy dari India 16-21, 21-17, 21-7 pada Rabu.
Sementara itu, pasangan regu yang baru menjadi pemain professional, Tan Kang Meng-Tan Wee Kiong menjadi satu-satunya wakil beregu lelaki negara yang melepasi pusingan pertama selepas mereka menewaskan pasangan dari Jepun, Takuto Inoue-Kenya Mitsuhashi 21-10,21-15.
Bagaimanapun mereka akan berhadapan cabarangan getir apabila dijadualkan bertemu pasangan nombor dua dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan selepas pasangan itu menewaskan satu lagi wakil Jepun, Mahiro Kaneko-Yunosuke Kubota 21-15, 21-18.
Kategori beregu camputan pula menyaksikan pasangan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei memerlukan 40 minit untuk mengatasi pasangan dari Taiwan, Lee Jhe-Huei-Hsu Ya Ching 18-21, 21-14, 21-14, untuk bertemu pasangan dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith selepas pasangan nombor tiga dunia itu menewaskan pasangan tuan rumah, Jones Ralfy Jansen-Linda Efler 21-9, 21-14. - Bernama