KUALA LUMPUR - Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mengingatkan pemain industri pelancongan supaya menitikberatkan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan.
Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ia termasuk dengan mutu perkhidmatan yang perlu dipertingkatkan susulan kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi sektor pelancongan beroperasi.
Menurutnya, mutu perkhidmatan industri pelancongan tempatan perlu setanding dengan penggiat sektor itu di negara jiran bagi menyambut kedatangan pelancong asing apabila sempadan negara dibuka dalam waktu terdekat.
"Sekiranya mutu perkhidmatan tidak dipertingkat secara profesional, negara akan kehilangan kedatangan pelancong luar.
"Begitu juga tahap kepatuhan SOP yang digariskan kerajaan terutama bagi sektor perhotelan, penginapan dan restoran," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Khalid memberi contoh penyediaan sarung tangan bagi pengunjung yang ingin menikmati juadah bufet di hotel, selain penjarakan fizikal serta sanitasi meja dan tempat duduk yang digunakan.
Beliau berkata, sekiranya SOP tidak diikuti dan terus diabaikan, MATA khuatir keadaan itu akan melonjakkan semula kes Covid-19 dalam negara, sekali gus menyebabkan sektor pelancongan ditutup sekali lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengunjung pusat pelancongan tidak terlalu ghairah hingga lupa mematuhi SOP dengan bersesak-sesak di restoran dan kawasan tumpuan pelancong termasuk di Cameron Highlands seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Mohd Khalid berkata, pengusaha pelancongan juga perlu mengehadkan jumlah pengunjung pada setiap hari untuk mengelak kesesakan dan memudahkan penjarakan fizikal serta mematuhi semua SOP ditetapkan.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) menjaga landskap yang terbiar supaya tidak mencacatkan keindahan persekitaran.
"Rumput di tepi jalan yang panjang dan tidak terjaga terutama sepanjang jalan dari Lapangan Terbang Langkawi ke pekan Kuah perlu diindahkan kembali.
"Sekiranya ini tidak dititikberatkan maka ia akan mencacatkan keindahan landskap yang dilihat oleh pengunjung luar.
"Tidak ada gunanya kita bermegah dengan produk yang baik, sekiranya perkara asas ini tidak dipatuhi dan tidak terjaga," katanya.