Air pasang besar: Teluk Intan mula banjir

Iklan
Kawasan Batu 6, Jalan Maharajalela, di sini turut dinaiki air akibat fenomena air pasang besar. - Foto APM Hilir Perak

TELUK INTAN - Beberapa kawasan di pesisiran Sungai Perak mula dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku mulai Khamis.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, berdasarkan pemantauan dibuat terdapat sebanyak sembilan kawasan terjejas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kawasan tersebut ialah Kampung Sungai Kerawai, Kampung Terengganu, Pekan Teluk Intan, Kampung Esso, Kampung Pisang Batak Rabit, Taman Maharani, Lorong Kalat Batak Rabit, Batu 6 Jalan Maharajalela dan Taman Muhibbah, di sini.

"Pada jam 4.10 pagi tadi, paras air laut meningkat setinggi 2.4 meter (m) dan keadaan itu menyebabkan limpahan air ke kawasan penduduk.

Iklan

"Rumah penduduk dinaiki air setinggi 0.3m akibat air pasang besar dan limpahan Sungai Perak sebelum surut sepenuhnya bermula jam 7 pagi," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan itu juga mendapati ban di belakang Taman Maharani pecah jam 4 pagi Khamis namun keadaan terkawal.

Iklan

Jelasnya, tiada penduduk yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat ini memandangkan air mulai surut.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan terus berwaspada dengan fenomena air pasang besar memandangkan air naik lebih tinggi dijangka berlaku awal pagi Jumaat.

Menurutnya, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hilir Perak akan terus memantau situasi air pasang besar itu.

Fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 November.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali menjelaskan fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Katanya, ia berisiko mengakibatkan banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai.

Menurut Nor Hisham kawasan terbabit di Kedah adalah Kuala Muda; Perak (Bagan Datuk); Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).