SAMARAHAN - Kerajaan Negeri Sarawak kini berstatus kerajaan sementara ataupun ‘caretaker government’ susulan penarikan Proklamasi Darurat (Sarawak) oleh Yang di-Pertuan Agong pada Rabu.
Jelas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, status itu bagaimanapun hanya menunggu pengumuman rasmi oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
"Secara teknikalnya, apabila Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021 itu telah diangkat, ia (menjadi kerajaan sementara) berlaku dan seterusnya menunggu pengumuman rasmi oleh Tuan Yang Terutama,” katanya yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Pampasan bagi Projek Bako / Sejingkat / Jalan Pesisir Samarahan (Sektor Samarahan) dan Tapak Baru bagi Pembesaran SK(A) Ibnu Khaldun serta Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 (Kediaman) di Dewan Seminar INTAN kampus Wilayah Sarawak dekat sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah pun tamat maka Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 harus diadakan dalam tempoh 60 hari namun penentuan tarikh tersebut adalah di bawah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Ya darurat sudah ditamatkan. Ini bererti pilihan raya harus dilakukan dalam tempoh 60 hari dan bila pilihan raya diadakan itu terpulang lah kepada SPR untuk menentukannya. Saya difahamkan penamatan Proklamasi Darurat ini sudahpun diwartakan semalam.
"Ya secara teknikalnya memanglah sepatutnya Dewan Undangan Negeri dah tamat tapi disebabkan oleh Proklamasi Darurat, jadi PRN tidak dilakukan.
"Setelah ia ditamatkan, kita harus melaksanakan PRN dalam tempoh 60 hari.. (Persoalan) bila ia akan dibuat, itu bergantung kepada SPR,” katanya lagi. - Awani