IPOH - Kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah dan Galian Perak sedang melakukan penyelarasan semula jadual kerja bagi menyelesaikan isu dihadapi peguam dan penghantar surat firma guaman yang terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan giliran urusan.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, satu perbincangan berhubung perkara itu telah diadakan membabitkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim bersama Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip dan pihak peguam terlibat bagi tujuan penyelarasan.
Menurutnya, isu berkenaan timbul bukan disebabkan kekurangan kakitangan tetapi akibat tunggakan kerja ekoran kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan kakitangan PTG sendiri.
"Masalah ini telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Exco semalam (Rabu) dan kita ambil maklum rintihan itu. Sekarang ini saya yakin Datuk Setiausaha (Ahmad Suaidi) dan PTG telah adakan rundingan dan mesyuarat bersama pihak terbabit supaya dapat diselaraskan.
"Perkara ini bermula apabila kita terpaksa mengurangkan kehadiran staf PTG akibat PKP. Apabila kita dengar ada rungutan, kita tambah bilangan mereka (staf) yang hadir tetapi perkara itu telah menyebabkan ramai terkena jangkitan positif Covid-19 termasuk Pengarah PTG sendiri yang menyebabkan berlakunya tunggakan-tunggakan kerja," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan peguam dan penghantar surat firma guaman berhubung sistem giliran sedia ada di PTG bagi urusan penghantaran dokumen sepertimana dilaporkan sebuah akhbar pada Rabu.
Mereka mendakwa sistem berkenaan hanya membenarkan 30 penghantar dan 300 dokumen diproses dalam sehari mengakibatkan banyak perkara tertangguh selain terpaksa beratur sehingga lewat malam bagi mendapatkan giliran urusan.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, penyelarasan kerja terbabit termasuklah bekerja pada Sabtu dan Ahad bagi menyiapkan semua keperluan dan kerja-kerja untuk tujuan penghantaran dokumen terlibat.
"Kita faham masalah itu dan kehendak mereka, jadi sekarang ini mereka pun kena fahamlah bahawa kita kekurangan dari segi tenaga.
"Beri peluang sedikit masa, mereka cuba buat sedaya upaya," katanya.
Sementara itu, Saarani sempat mengadakan kunjungan ke kediaman bekas pemandu Pejabat Menteri Besar Perak, K Kamalanathan di Desa Sri Wang, Lahat di sini sempena sambutan Deepavali yang disambut pada Khamis.
Dalam kunjungan itu, beliau menyampaikan komitmen kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk membantu menyelesaikan tunggakan bil elektrik, air dan rumah dihadapi Kamalanathan yang tertunggak hampir 10 bulan dengan jumlah keseluruhan lebih RM4,000.
"Sekarang ini kita dalam peringkat nak bantu beliau cari tapak kediaman yang sesuai supaya tidak lagi perlu bayar sewa dan dalam masa sama ada kemudahan memulakan perniagaan untuk menyara kehidupannya," katanya.